Oh My English Buah Tangan Terbaru Astro TVIQ! Merupakan satu buah tangan terbaru terbitan Astro TViQ iaitu Oh My English yang akan ditayangkan setiap hari Ahad jam 10.00 pagi.
Oh My English, bertujuan untuk memperbaiki pertuturan dan penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia yang kadang-kala terlepas pandang tentang perkara-perkara remeh dalam penggunaan seharian.
Oh My English akan ke udara pada setiap hari Ahad jam 10 pagi di Astro TVIQ (Saluran 610) dan Astro Prima (105) pada setiap hari Jumaat pukul 9.30 malam bermula 8 Jun nanti.
Oh My English! mengambil pendekatan yang unik dalam pembelajaran Bahasa Inggeris yang mana setiap episod sitkom selama setengah jam itu mempunyai tema perbualan yang boleh diguna pakai di dalam kehidupan seharian seperti perhubungan, sukan, muzik dan makanan.
Episod-episod tersebut juga mengandungi tiga kapsul pendek yang menerangkan penggunaan Bahasa Inggeris dengan betul sama ada dari segi tatabahasa, perbendaharaan kata, struktur ayat mahupun sebutan.
“Sebagai tambahan, Astro juga telah bekerjasama dengan British Council dalam pembangunan kandungan pembelajaran Bahasa Inggeris, termasuk bahan-bahan dan kertas latih tubi lengkap, yang boleh didapati di laman rasmi Oh My English!
“Program itu juga akan dilengkapi pengalaman pembelajaran multimedia melalui internet, butang merah interaktif pada alat kawalan Astro, laman sosial, radio, siri bengkel di sekolah dan dalam bentuk cetakan,” ujar Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Naib Presiden Bahagian Remaja dan Kanak-Kanak Astro.
Rancangan 20 episod itu menampilkan barisan pelakon yang berpengalaman dan baru antaranya pelakon dan penyanyi terkenal Adibah Noor yang membawa watak sebagai pengetua.
Para peminat boleh melayari www.ohmyenglish.com.my untuk mempelajari Bahasa Inggeris menerusi permainan-permainan interaktif dan kandungan-kandungan lain.
Video terkini program itu juga boleh dilayari di www.youtube.com/ohmyenglishtv. Sebagai alternatif, penonton juga boleh mengikuti laman Oh My English di laman sosial facebook di www.facebook.com/ohmyenglish untuk berkongsi pengalaman masing-masing tentang cara-cara memperbaiki penggunaan Bahasa Inggeris.
Antara pelakon dan pelawak yang menyertai Oh My English ini ialah Mr. Os dan Harun Salim Bachik. Zain Saidin pula membawa watak Henry Middleton, guru Bahasa Inggeris baru yang merupakan rakyat Malaysia yang dibesarkan di Britain.
Selain itu, bintang muda berbakat seperti Izara Aishah, Addy Ashraf dan pasangan adik beradik Ahmad Ezzrin Loy dan Nurul Ezlisa Loy.
Antara pelakon-pelakon lain termasuklah Mohd Zhafir Muzani, Kaameshaa Ravindran, Amer Sharrif, Tan Teong Sik dan Muhammad Akhmal Mohamad Nazri.
Tidak ketinggalan juga artis-artis tersohor tanahair seperti Lisa Surihani, Rozita Che Wan dan Nabil Raja Lawak yang akan membuat penampilan istimewa serta memeriahkan lagi episod-episod tertentu.
Oh My English Buah Tangan Terbaru Astro TVIQ – Forblogger | Hiburan | Pendidikan |



