Andy Estranged Di Ugut Bunuh Perompak : Azwin Andy Malik atau Andy Estranged telah diugut bunuh oleh perompak pada hari Ahad lepas.
Andy, yang juga merupakan pemain dram kumpulan Estranged berkata, seramai 4 orang perompak telah memecah masuk rumah mereka di Kota Damansara pada jam kira-kira 3.45 pagi.
Menurut Andy, perompak tersebut yang kesemuanya menutup wajah dengan topeng telah mengugut untuk membunuh jika dia atau ahli keluarga lain cuba melawan.
“Mereka muncul dengan membawa wayar, batang besi dan kayu. Malang sekali abang saya (Azlan Rudy) dipukul teruk sehingga meninggalkan kesan lebam pada badannya ketika cuba melawan.
“Saya beritahu mereka untuk ambil apa sahaja barang yang diinginkan dan jangan mencederakan kami sekeluarga,” katanya.
Kejadian rompakan tersebut berlaku sewaktu Andy baru sahaja pulang ke rumah. Menyedari pintu utama rumahnya tidak ditutup, dia terus naik ke tingkat atas.
“Pada mulanya, saya sangka nenek saya datang ke rumah dan berborak bersama ahli keluarga yang lain apabila mendengar bunyi orang sedang bercakap.
“Ketika mahu naik ke tangga, terdapat dua lelaki memakai baju hitam turun dan masa itu saya tidak dapat berbuat apa-apa.
“Habis semua barang-barang berharga diambil. Mereka juga bertanya sama ada kami menyimpan peti besi atau tidak? Mujurlah perompak tersebut memenuhi permintaan saya supaya memulangkan kad pengenalan dan kad kredit,” ujarnya.
Antara kerugian yang keluarga Andy alami akibat dirompak pada malam itu ialah sebuah komputer riba, iPad, sejumlah wang tunai, barangan kemas serta beberapa barang lain. Sejurus selepas kejadian tersebut, mereka sekeluarga terus membuat laporan polis.

