Jika disebut nama Azwan Ali, perkara pertama yang terlintas di fikiran semua adalah kontroversi. Azwan Ali dikenali dengan sifat mulut laser dan kelantangannya bersuara. Beliau tidak henti-henti dihimpit dengan kontroversi apabila sering dikaitkan pergaduhan dengan pelbagai pihak.
“Bergaduh dan mencarut, itu lumrah kehidupan. Bagi saya, benda ini berlaku di mana-mana saja setiap hari. Sesiapa saja pernah bergaduh dan mencarut. Tapi bila Azwan Ali yang mencarut, seolah itu adalah satu kesalahan besar.Apakah masalah mereka semua?
“Saya bukan nabi, jangan anggap saya ini nabi. Saya juga sama seperti manusia biasa yang tidak pernah lari dari melakukan kesilapan. Saya juga ada hati dan perasaan,” jelas Azwan Ali ketika ditemui pada rakaman program Galaksi Raya, baru-baru ini.
Umum mengetahui Azwan Ali juga telah bergaduh dengan Ifa Raziah, malah ini bukanlah kali pertama mereka bergaduh dan kemudian bermaafan. Namun sewaktu rakaman program hiburan TV9 tersebut dijalankan, Azwan Ali sekali lagi telah dipertemukan dengan Ifa Raziah yang turut menjadi artis jemputan dalam program tersebut.
Difahamkan pertemuan tersebut diaturkan oleh rakan mereka iaitu Roslan Shah yang membawa Azwan bertentang mata dengan Ifa walaupun sebelum ini, mereka berdua mengambil keputusan untuk tidak berbaik semula kerana masing-masing sudah malas dan tidak kuasa untuk melayan karenah sesama mereka.
Ditanya kepada Azwan, adakah kemaafan kali ini benar-benar ikhlas dari hati memandangkan sudah berulang kali perkara ini berlaku, Azwan memberitahu, “Itu saya tak nak komen kerana apa yang penting kami telahpun dipertemukan kembali. Masyarakat tidak perlu tahu kami berbaik secara ikhlas atau tidak kerana itu antara saya dengan dia sahaja.
“Saya juga percaya, musuh akan berterusan melaga-lagakan kami. Apa jua pergaduhan yang berlaku antara saya dengan artis lain, hidup hendaklah diteruskan. Saya tidak berdendam pada dia, namun untuk rapat macam dulu, mungkin sukar. Bukannya sebab serik, tapi saya lebih berhati-hati.
“Bagi saya, kami dab bertegur sapa dan hormat antara satu sama lain, itu dah memadai. Mungkin kami tidak serapat dulu, tapi kami tidaklah juga berdendam. Saya harap dia juga begitu,” jelas Azwan mengakui sudah tidak melayan lagi musuh-musuhnya di Twitter.
“Saya akui selepas Umrah, saya masih mengamuk di Twitter dengan mereka yang biadab terhadap saya. Namun, saya sudah berhenti mengamuk sejak minggu lalu atas nasihat rakan-rakan. Mereka menasihatkan saya agar tidak mengendahkan orang-orang yang biadab ini dan anggap saja mereka tak wujud. Alhamdulillah, baru kini saya tahu perkara ini membantu dan saya tidak layan mereka lagi.”

