Bersara Umur 60 Tahun Pada 2013 : Umur persaraan minimum pekerja swasta dinaikkan sehingga 60 tahun berkuat kuasa Januari 2013 .
Menurut Undang-Undang Persaraan Minimum 2012 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat semalam, majikan tidak boleh memaksa staf mereka bersara sebelum mencapai umur 60 tahun dan akan dikenakan denda sehingga RM10,000 jika berbuat demikian.
Akan tetapi, pekerja masih dapat memilih untuk bersara lebih awal menerusi persetujuan dalam kontrak perkhidmatan atau perjanjian kolektif (CA) dengan majikan.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, ketika membentangkan rang undang-undang itu juga berkata, apabila berkuat kuasa kelak, semua kontrak perkhidmatan umur persaraan kurang daripada 60 tahun akan terbatal serta merta.
“Umur persaraan dalam kontrak yang dibuat sebelum, pada atau selepas tarikh permulaan kuat kuasa akta ini yang lebih rendah daripada umur persaraan minimum 60 tahun, terbatal dan digantikan dengan umur persaraan baru. Mana-mana terma dalam kontrak perkhidmatan berhubung umur persaraan juga terbatal jika bercanggah dengan akta itu,” katanya.
Sementara itu, rang undang-undang itu tidak terpakai bagi pekerja yang diambil secara tetap, sementara atau kontrak dan menerima emolumen kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan.
Ia juga tidak terpakai bagi pekerja dalam tempoh percubaan, bukan warga Malaysia, perkhidmatan domestik, pekerja yang tempoh kerjanya kurang daripada 70 peratus waktu bekerja biasa pekerja sepenuh masa dan pelajar yang bekerja secara kontrak untuk tempoh sementara. - Forblogger | Berita Terkini

