Diskaun Pelajar Untuk Tiket Konsert Sami Yusuf : Penganjur Konsert Salaam Sami Yusuf melanjutkan tempoh diskaun sebanyak 15 peratus untuk tiket pelajar sehingga 30 Jun ini.
Menurut penganjur konsert Sami Yusuf, Offshore Entertainment Production (OEP), keputusan tersebut dilakukan bagi memberikan masa yang mencukupi kepada mereka yang berada di luar Kuala Lumpur untuk membuat pembelian tiket konsert.
“Kami lanjutkan tempoh diskaun tiket kepada pelajar kerana mengambil kira kepada mereka yang berada di luar Kuala Lumpur agar mempunyai waktu yang mencukupi untuk melakukan pembelian tiket ke konsert ini,” ujar pihak penganjur.
Kata kenyataan itu, OEP turut melantik sebuah syarikat, UNICDOTMY Pro Sdn Bhd sebagai ejen penjualan tiket bagi memudahkan urusan penjualan tiket tersebut khusus untuk para pelajar.
Pembelian boleh dilakukan dengan melayari laman web www.unic.my dan klik pada UNIC e-shop, dengan kemudahan pembayaran menerusi kredit kad atau menerusi online banking.
Konsert itu juga turut menampilkan penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza sebagai penyanyi undangan.
Pada malam nanti, mereka dijangka akan bergandingan menyanyikan lagu berjudul You Came To Me yang turut dimuatkan dalam album terbaru Sami, Salaam.
“Saya sudah tidak sabar untuk berkongsi pentas dengan penyanyi nombor satu Malaysia pada konsert di Singapura dan Kuala Lumpur,” kata Sami Yusuf.
Kumpulan pemuzik terkenal tanah air, Mohram turut mengiringi penyanyi itu dalam segmen khas “akustika”. Populariti penyanyi kelahiran Tehran ini melonjak di peringkat global selepas dia muncul dengan album sulung “Al Mu’allim” pada 2003.
Sami Yusuf yang mempunyai jumlah peminat mencecah 2 bilion orang mendapat jolokan ‘Bintang Muslim Terbesar’ oleh majalah Time dan ‘Muslim British Paling Popular Di Dunia’ oleh The Guardian.
Tiket bagi menyaksikan konsert berkenaan dijual serendah RM55 sehingga RM295 dan boleh dibeli dengan melayari www.airasiaRedtix.com atau di cawangan Victoria Music Centre dan Rock Corner.
Untuk maklumat mengenai tiket konsert boleh hubungi talian 03-87754666. - Forblogger | Hiburan

