Era, Sinar dan Suria Bidas Kenyataan Anuar Zain

by MediaKini on 22 June, 2012

in Info Artis

Share:

Era, Sinar dan Suria Bidas Kenyataan Anuar Zain: Tiga buah stesen radio swasta terkenal di Malaysia iaitu Era FM, Sinar FM dan Suria FM membidas kenyataan yang dibuat oleh Anuar Zain tempoh hari.

Sebelum ini, timbul kontroversi (Kerana Kecewa 4 Tahun Anuar Zain Tak Dengar Radio) mengenai dakwaan penyanyi terkenal Anuar Zain yang kecewa dengan stesen radio kerana stesen penyiaran yang asyik memainkan genre muzik serupa. Selain itu, Anuar Zain turut kecewa lagu nyanyiannya yang kurang dimainkan di radio menyebabkan dia mengambil pendirian untuk tidak mendengar radio sudah hampir 4 tahun.

Ternyata kenyataan Anuar Zain tersebut mengundang kontroversi dan mendapat reaksi balas dari beberapa Pengurus Operasi stesen radio Malaysia termasuklah Era Fm, Sinar Fm dan Suria FM. Dalam kenyataan balas tersebut, mereka manafikan sama sekali dakwaan Anuar Zain yang menganggap stesen radio Malaysia tidak menyokong artis tempatan sepertinya.

Reaksi Pengurus Operasi Era FM

“Dakwaan kami tidak membantu dan memutarkan lagu-lagu Anuar adalah tidak berasas. Lagu-lagunya sering diputarkan mengikut permintaan, antara dua hingga tiga kali sehari atau paling kurang sekali sehari berdasarkan permintaan pendengar.

“Kami tidak mempunyai sebarang masalah dengan Anuar dan sentiasa menyokong lagu-lagu artis tempatan secara adil. Malah, lagu Sedetik Lebih menjadi lagu popular bagi tahun lalu di stesen ini.

“Ketika lagu itu memenangi Lagu Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM) pada November tahun lalu, kami dedikasikan segmen khas pada hari berikutnya sebagai penghargaan dengan memutarkan lagu-lagu Anuar pada setiap jam sepanjang hari,”.

Reaksi Pengurus Operasi Suria FM

“Mungkin Anuar tidak faham mengenai perjalanan operasi dan pendengar sasaran yang ditetapkan oleh sesebuah stesen radio. Dia perlu bertanya dan kami boleh jelaskan kepadanya.

“Tidak manis untuk dia membuat dakwaan tanpa dia mendengar sama ada benar radio putarkan lagunya atau tidak? Bagi Suria FM sendiri, kami kerap memutarkan lagu-lagu daripada album barunya kerana mendapat permintaan daripada pendengar,” jelasnya yang menghormati pendirian Anuar yang tidak mendengar radio lebih empat tahun.

“Penyanyi mudah menuding jari kepada radio jika lagu-lagu mereka tidak diputarkan tetapi tidak pula menghargai apabila lagu mereka popular kerana kerap diputarkan di radio.

“Kami tidak pernah berat sebelah pada mana-mana penyanyi dan lagu. Jika sesebuah lagu itu sedap dan diterima, kami pasti putarkan termasuklah lagu-lagu Anuar,”

Reaksi Pengurus Rancangan Sinar FM

“Kami sentiasa menyokong penyanyi-penyanyi tempatan. Walaupun format kami mengutamakan lagu-lagu retro tetapi lagu-lagu Anuar Zain sentiasa berada dalam senarai putaran kami.

“Lagu barunya, Ku Berjanji Karna Cinta adalah antara lagu yang mendapat putaran tertinggi di Sinar FM. Mungkin perkara ini timbul kerana dia tidak mendengar radio ketika lagunya disiarkan.

“Saya tidak boleh ulas lanjut kerana saya perlu tahu sebab dan keadaan ketika dia mengeluarkan kenyataan itu, sama ada ia ditujukan kepada stesen radio tertentu atau dia tidak puas hati dengan perkara tertentu,”

- Era, Sinar dan Suria Bidas Kenyataan Anuar Zain

5.0

Previous post:

Next post: