Indonesia : Maki Malaysia & duta dibaling telur.Sekumpulan 20 mahasiswa maki Malaysia & bertindak membaling telur terhadap kedutaan di Jakarta.
Walapun penjelasan sudah diberikan mengatakan bahawa Malaysia tidak berhasrat untuk mendakwa sebagai pemilik seni budaya tarian Tor-Tor dan Gordang Sambilan Mandailing (Gendang Sembilan Mandailing), namun media Indonesia berterusan menghangatkan isu itu dengan dakwaan kononnya Malaysia mahu mencuri kebudayaan itu.
Sekumpulan mahasiswa dari sebuah universiti telah mengadakan tunjuk perasaan di pengkalan Kedutaan Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan.
Kumpulan ini bertindak melemparkan telur dan beg plastik berisi telur ke kawasan depan pintu utama Kedutaan Besar Malaysia dengan melepasi kepala sejumlah anggota polis Indonesia yang berkawal di hadapan pintu pagar utama.
Insiden membaling telur ini berlaku di akhir demonstrasi yang berlangsung kira-kira 40 minit, bermula pada pukul 1.30 petang yang dipenuhi makian.
Dalam demontrasi berkenaan, beberapa mahasiswa telah berucap dengan mesej mengutuk dan memaki hamun Malaysia.
Kontroversi mengenai tarian Tor-Tor dan Gordang Sambilan Mandailing ini bermula apabila media di Indonesia mengutip kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia (Datuk Seri Dr Rais Yatim) pada 14 Jun di Kuala Lumpur yang mengatakan bahawa kedua-dua kesenian yang diamalkan masyarakat Mandailing di Malaysia itu juga akan diiktiraf sebagai satu cabang warisan negara Malaysia.
Pelbagai pihak di Indonesia curiga dengan langkah yang akan diambil Malaysia dan terus mendakwa kononnya Malaysia ingin mendaftarkan kebudayaan masyarakat Mandailing itu sebagai milik negara Malaysia.
Pihak Kementerian Penerangan Komunikasi & Kebudayaan Malaysia bersama Persatuan Masyarakat Mandailing Malaysia telahpun memberi penjelasan kepada Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur mengenai kedudukan sebenar akan perkara itu seterusnnya perkhabaran itu disampaikan kepada kerajaan Indonesia.
Dalam masa yang sama, Kedutaan Besar Malaysia di sini semalam turut memberikan penjelasan kepada dua senator dari suku Mandailing dan Batak Sumatera Utara, dengan menegaskan bahawa pengiktirafan itu bukan bermaksud Malaysia mahu mengakui atau mencuri sebagai pemilik budaya berkenaan.
Pengiktirafan itu telah dimohon dan diperjuang sekian lama oleh masyarakat Mandailing di Malaysia yang mahukan budaya mereka juga turut diiktiraf negara di peringkat nasional sebagaimana pengiktirafan kepada budaya masyarakat Cina dan masyarakat India serta beberapa etnik lain di Malaysia.

