Kerana Kecewa 4 Tahun Anuar Zain Tak Dengar Radio : Kerana kecewa, Anuar Zain mengaku sudah hampir 4 tahun tidak mendengar radio.
Anuar Zain dilaporkan berkata demikian disebabkan bosan dengan pemilihan lagu stesen penyiaran yang asyik memainkan genre muzik serupa.
Shahrul Anuar Zain atau dikenali dengan nama glamournya Anuar Zain, berkata, kebanyakan lagu yang diputarkan hanya memainkan satu atau dua jenis genre muzik sahaja walhal ramai penyanyi tempatan yang menghasilkan pelbagai jenis lagu.
“Sudah hampir empat tahun saya tidak mendengar radio kerana genre muzik yang dimainkan tidak dipelbagaikan. Lebih baik saya dengar menerusi cakera padat (CD) yang dibeli.
“Saya tidak kata lagu-lagu yang diputarkan itu tidak bagus, tetapi bukankah lebih meriah lagi jika semua konsep muzik diperdengarkan?,” soalnya yang ditemui pada pelancaran album Anuar Zain di Bistro 42, Bangsar Village.
Anuar Zain turut berkata, kerana perkara itu, penyanyi-penyanyi yang membawakan genre muzik berlainan seolah tidak dilayan termasuklah dirinya sendiri apabila lagu album barunya yang bertajuk Anuar Zain turut gagal mendapat perhatian.
Dia juga agak terkejut apabila menerima maklum balas dari stesen radio, bahawa lagu-lagu yang dimuatkan pada album yang dipasarkan sejak hujung tahun lalu itu tidak mencapai tahap piawaian mereka.
“Saya agak terkilan dengan alasan yang diberikan kerana album tersebut dihasilkan dengan kualiti yang sangat memuaskan.
“Bukan mahu bangga diri, tetapi sepanjang 30 tahun berkecimpung dalam dunia muzik, sudah semestinya saya tahu tahap kualiti sesebuah lagu itu,” tambahnya.
Lebih mengelirukan lagi penyanyi ini lagi apabila ada stesen radio memberi alasan bahawa lagu-lagu barunya tidak mesra pendengar sedangkan album itu telah pun dijual sebanyak 11,000 keping tanpa sebarang promosi dalam masa beberapa bulan sahaja.
“Saya tak faham apa yang mereka inginkan dan apa yang dimaksudkan dengan mesra pendengar? Adakah saya perlu mengikut sejenis genre sahaja seperti lagu-lagu yang diputarkan kini?
“Maafkan saya kerana bersikap lantang sedikit. Bukan saya sahaja yang melalui masalah sama, sebaliknya rakan-rakan seperjuangan lain yang sanggup berhabis wang menghasilkan lagu yang berkualiti turut memiliki masalah yang sama. Saya harap pihak radio yang dimaksudkan peka dengan apa yang ingin disampaikan,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai album terbarunya “Anuar Zain”, Anuar rasa bersyukur kerana album itu tetap mendapat respons yang memuaskan walaupun beliau tidak melakukan sebarang pelancaran atau promosi.
Kerana Kecewa 4 Tahun Anuar Zain Tak Dengar Radio



{ 1 trackback }