Nizar Serahkan Kepada Polis Isu WWW1

by Harian Malaya on 6 June, 2012

in Info Politik

Share:

Nizar Serahkan Kepada Polis Isu WWW1: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin serahkan kepada polis isu WWW 1.

Beliau dilaporkan telah memberi keterangan kepada dua pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bharu Utara berhubung isu bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Isu WWW 1, Nizar Beri Kerjasama Siasatan Polis

Nizar yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang telah hadir bersama 7 orang peguamnya yang diketuai oleh Pengerusi Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) PAS Pusat, Asmuni Awi telah memberi keterangan kepada Ketua Siasatan Jenayah IPD Johor Bharu DSP Sanawi Muhamad bersama-sama DSP Sukiman Arshad.

Dua Pegawai Polis tersebut tiba di Pejabat PAS Perak, Ipoh kira-kira jam 2.05 petang dan mengambil masa hampir sejam untuk merakamkan keterangan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu.

Nizar ketika membuat sidang media selepas pertemuan itu berkata, sebanyak 28 soalan telah dikemukakan kepada beliau dan beliau telah menjawab kesemuanya.

“Alhamdulillah, semua berjalan lancar dan saya serahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan,” katanya.

Mohammad Nizar sebelum ini dilapor mengeluarkan kenyataan menerusi laman Twitter mempersoalkan bidaan nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 yang bidaannya bernilai RM520,000.

Sebanyak 41 laporan polis telah dibuat oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik berhubung kenyataan yang dikeluarkan Muhammad Nizar. Difahamkan Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin akan disiasat mengikut Akta Hasutan.

Nizar sebelum ini dikatakan pernah memohon maaf berkenaan isu nombor pendaftaran ini.

5.0

Previous post:

Next post: