PTPTN Bekukan Sementara Pinjaman Pelajar UNISEL

by Harian Malaya on 5 June, 2012

in Info Pendidikan

Share:

PTPTN bekukan sementara pinjaman pelajar UNISEL : Forblogger mendapat info PTPTN telah bekukan sementara pinjaman pelajar UNISEL.

Seorang pegawai PTPTN yang dihubungi melalui talian pertanyaan badan tersebut mengesahkan bahawa perkara itu telah dimaklumkan secara dalaman melalui emel.

PTPTN “Bekukan” Sementara Pinjaman Pelajar UNISEL

Setakat ini difahamkan, tiada pekeliling secara hitam putih dikeluarkan berkenaan langkah tersebut.

Manakala di satu laman forum PTPTN turut mendapati bahawa pinjaman kepada pelajar baru Unisel “ditangguhkan buat sementara waktu.”

Ruangan forum berhubung syarat permohonan pinjaman kendalian Kementerian Pengajian Tinggi itu turut menyatakan bahawa PTPTN tidak lagi memberi pinjaman kepada pelajar Unisel.

Perkara itu dinyatakan salah seorang moderator laman forum berkenaan yang menggunakan nama “ptptn1″ ketika menjawab satu soalan berhubung pinjaman PTPTN untuk pelajar Unisel pada 8 Mei lalu.

Dalam satu lagi jawapannya pada 31 Mei berhubung isu sama, moderator berkenaan menyatakan bahawa “pinjaman bagi pelajar yang ingin menyambung pengajian di Unisel ditangguhkan buat sementara waktu.”

Mengulas tindakan itu, naib canselor Unisel Prof Dr Anuar Ahmad berkata perkara itu mula disedari apabila pelajarnya cuba memohon pinjaman tersebut melalui sistem dalam talian sejak April lalu. Katanya, permohonan pinjaman untuk siswa kampus tersebut buat masa ini dibekukan.

Unisel kemudiannya mengadakan perbincangan dengan PTPTN berhubung keputusan tersebut sejak minggu lalu. Bagaimanapun, sebab pembekuan itu tidak dapat didedahkan kerana perbincangan masih berjalan, katanya lagi.

“Kita sedang berbincang dengan PTPTN jadi tidak banyak yang boleh didedahkan. Jika hujung minggu ini tiada makluman dari PTPTN kita akan hubungi mereka semula,” katanya.

Tambahnya, tindakan tersebut mungkin menjejaskan pengajian lebih seribu pelajar yang baru mendaftar di Unisel.

“Jadi mereka ini kita benarkan meneruskan pengajian dan kita cuma minta bayar yuran pendaftaran RM500 sahaja,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah sewaktu dihubungi berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang ulasan mengenai perkembangan tersebut.

“Saya sukar hendak komen hal ini. Minta maaf,”

Exco pendidikan Selangor, Dr Halimah Ali pula dalam satu kenyataan berkata PTPTN seharusnya bersikap profesional dan tidak menjadikan siswa berkenaan sebagai “mangsa politik pihak tertentu.”

Katanya, PTPTN tiada sebab untuk mendiskriminasi pelajar dari IPT tertentu yang memohon pembiayaan.

“Nama pun Satu Malaysia, tetapi mengapa wujud sikap pilih kasih terhadap pelajar Unisel,” kata anggota lembaga pengarah Unisel itu lagi seperti dipetik laman TV Selangor.

- Malaysia Kini

5.0

Previous post:

Next post: