Senarai 900 Pesalah Rasuah Di Paparkan DiLaman Web SPRM : Senarai nama 900 pesalah rasuah telah dipaparkan dilaman web SPRM.
Senarai 900 individu tersebut termasuk mereka yang berpersonaliti tinggi, lengkap dengan gambar,data perbadi dan sejarah kes. Kesemua mereka telah diadili di mahkamah dan didapati bersalah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, ianya bertujuan untuk mengingatkan orang ramai supaya tidak menerima atau memberi rasuah.
Profil berkenaan yang diwujudkan sejak 1 Januari 2010 sentiasa dikemas kini tetapi nama setiap pesalah akan dikeluarkan selepas tiga tahun.
Pesalah rasuah pula terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, antaranya ahli politik, kakitangan awam, ahli perniagaan dan individu yang bekerja sendiri.
Sejarah kes di kalangan setiap pesalah membabitkan tuduhan, hukuman, mahkamah, hakim perbicaraan, timbalan pendakwa raya dan peguam pembela.
Carian terus boleh dilakukan melalui nama dan nombor kad pengenalan pesalah.
Status terkini sesuatu kes turut dinyatakan untuk menunjukkan sama ada individu yang didapati bersalah merayu terhadap hukuman tersebut.
Datuk Abdul Razak Musa selaku ketua Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM berkata;
”Ada segelintir individu mengadu bahawa pangkalan data tersebut berniat untuk memalukan mereka. Pendirian kami adalah untuk mendidik orang ramai bahawa kesalahan rasuah adalah begitu serius. Kami mahu memberi kesedaran mengenai hukuman yang akan diterima jika mereka menerima atau memberi rasuah.”
Beliau berkata SPRM sejak akhir-akhir ini sentiasa menekankan bahawa menawarkan rasuah juga satu kesalahan.
“Tidak akan wujud penerima jika tiada pemberi rasuah,” katanya.
Pada tahun lalu, peratusan kejayaan SPRM dalam mendapatkan sabitan adalah sebanyak 75% daripada 388 kes, berbanding hanya 72% daripada 309 kes pada 2010.
Kira-kira 463 individu didapati bersalah tahun lalu termasuk mereka yang mengaku bersalah, berbanding 272 pada 2010.
Pada Januari hingga Mei tahun ini, seramai 211 orang didapati bersalah.
Jumlah mereka yang dipenjarakan tidak diketahui tetapi beliau berkata kira-kira RM10.9 juta bayaran denda diterima pada tahun lalu berbanding hanya RM9.5 juta pada 2010.
Senarai 900 Pesalah Rasuah Di Paparkan DiLaman Web SPRM


{ 1 trackback }