Awie - Golongan Muda Tak Patriotik : Awie, penyanyi utama kumpulan Wings hari ini mendakwa golongan muda masa kini tak patriotik.
Bukan setakat tak patriotik, golongan muda juga dakwanya kurang peka dengan sejarah negara apatah lagi untuk menjadi seorang yang berjiwa patriotik.
“Saya suka apabila melihat budak-budak remaja sekarang ini lebih bijak dan berani menyatakan pendapat mereka tetapi sayangnya jiwa mereka semakin kurang dengan nilai-nilai patriotik.
“Apa yang saya lihat, ada yang mengambil sikap tidak peduli dan ada juga golongan muda yang bersuara lantang menentang kerajaan.
“Sedangkan macam-macam perkara yang mereka terima daripada pihak kerajaan. Nak buat macam mana, manusia tidak pernah bersyukur atau berpuas hati dengan apa yang ada,” katanya.
“Sebenarnya, sifat-sifat patriotik perlu dididik bermula dari rumah dan ibu bapa memainkan peranan yang sangat besar untuk itu.
“Begitu juga dengan saya yang perlu mendidik anak-anak tentang sejarah negara. Dari situ, akan timbul rasa keinsafan dalam diri mereka bagaimana susahnya rakyat tempatan satu ketika dahulu,” ujarnya.
Menurut Awie, pengetahuan sejarah negara mestilah diketahui oleh setiap rakyat tempatan terutamanya bagi golongan muda agar mereka faham betapa susahnya pejuang terdahulu mendapatkan kemerdekaan di tanah air sendiri.
Perkara tersebut juga telah membuatkan Awie ingin menyuntik sifat semangat cintakan negara kepada golongan muda dengan merancang untuk menghasilkan sebuah konsert khas berkonsepkan patriotik.
“Saya sedang merancang untuk membuat sebuah konsert khas berkonsepkan patriotik bersama-sama dengan Wings serta beberapa artis lain. Semoga perancangan itu menjadi,” tuturnya.
Dalam satu lagi perkembangan lain, Wings yang kini bernaung di bawah KRU Studio bakal muncul dengan album terbaru berjudul Menakluk Kosmos selepas 10 tahun tanpa album.
Awie – Golongan Muda Tak Patriotik

