Iklan Hari Raya - Kisah Sedih Erra Dan Arwah Bapanya : Satu iklan hari raya yang akan muncul tidak lama lagi akan memperlihatkan kisah sedih Erra bersama arwah bapanya.
Kisah sedih Erra bersama arwah bapanya dikongsi bersama peminat didalam sebuah iklan komersial hari raya yang berdurasi selama 60 saat. Ia adalah sebuah kisah benar dari dairi kehidupan Erra sendiri.
Erra Fazira atau nama sebenar, Fazira Wan Chek, 38, sanggup berkongsi memori sedih yang tidak akan terpadam dan terkunci kemas di sanubari beliau sehingga saat akhir.
Segalanya bakal terbongkar apabila Erra sendiri bersetuju dengan program ‘Jalinan Kasih di Aidilfitri’ dari Astro yang akan ke udara secara eksklusif pada minggu terakhir Ramadan.
Buat kali pertama, pelakon, penyanyi dan bekas Ratu Cantik Malaysia ini mendedahkan siapa bapanya dan apa yang berlaku dalam hubungan mereka. Ia sekali gus menjawab teka-teki ramai yang ingin mengetahui identiti bapanya selama ini.

Iklan tersebut telah menjalani penggambaran di Tanjung Karang, Selangor pada 19 Julai lalu, bermula dari jam 5 pagi sehingga senja, membabitkan 40 orang kru diketuai Pengarah Kreatif Rangkaian Astro, Abib Mirza Hussein, tiga pelakon utama iaitu Erra ketika kecil, Nurul Balqish, ibu, Riza Alwi serta 27 watak tambahan.
Ketika ditemui di lokasi penggambaran iklan itu, Erra yang dilahirkan di Sungai Choh, Rawang pada 9 Februari 1974, menafikan selama ini merahsiakan identiti bapanya, cuma dia merasakan perkara itu tidak perlu dikongsi setiap kali ditanya media.
Pun begitu, hati anak tunggal pasangan Wan Chek dan Azizah Zaik ini terbuka untuk bercerita apabila tema yang diperkenalkan Astro bersesuaian dan boleh dijadikan pengajaran bersama.
“Bagi saya, ia bukan perkara terlalu sensitif, sebab itu saya boleh kongsi. Lagipun, ia disampaikan dengan menggunakan saluran betul. Saya cuma menceritakan kisah zaman kanak-kanak yang belum pernah dikongsi dengan masyarakat.
“Semua orang ada sejarah masing-masing dan ia bukan berniat memburuk atau menyalahkan mana-mana pihak, malah sebelum penggambaran, saya ingatkan pihak Astro supaya penyampaiannya nanti biarlah dalam bentuk membina.
“Apa yang ingin saya sampaikan dalam iklan ini, ikatan tidak akan putus walaupun berpisah mati. Seperti saya katakan tadi, ia bukan salah sesiapa tetapi keadaan yang menjadikannya begitu.
“Ia mengisahkan seorang kanak-kanak yang dambakan kasih sayang seorang bapa tetapi hasrat itu tidak kesampaian disebabkan keadaan. Bagaimanapun, hubungan anak dan bapa tidak akan putus. Ia ikatan indah anugerah Ilahi.
“Buatlah apa saja, satu hari pasti si anak tahu siapa bapanya. Diharap secebis kisah ini boleh menyedarkan mereka yang ada kasih sayang depan mata tetapi tidak menghargainya,” katanya sambil menghela nafas panjang.
Sinopsis iklan Jalinan Kasih di Aidilfitri Erra.
Ia mengisahkan seorang kanak-kanak yang dambakan kasih sayang seorang bapa tetapi hasrat itu tidak kesampaian disebabkan keadaan. Bagaimanapun, hubungan anak dan bapa tidak akan putus. Ia ikatan indah anugerah Ilahi.
Dia keliru, benarkah lelaki dipanggil Along itu bapanya? Akalnya menolak kerana sedari kecil ibu memaklumkan bapanya sudah meninggal dunia, namun entah mengapa seakan-akan ada tarikan magnetik antaranya dengan lelaki itu yang juga jiran neneknya yang sering dilihat setiap kali pulang ke kampung.
Hinggalah satu hari, tiba-tibanya ibu datang ke sekolah untuk membawanya pulang ke kampung. Kata ibu, bapa meninggal dunia. Terpinga-pinga si kecil berusia lapan tahun itu.
Bukankah bapanya sudah lama meninggal dunia? Siapa pula gerangan yang dimaksudkan ibu? Rasa keliru yang meluap-luap direlung hatinya semakin memuncak.Tatkala tiba di perkarangan rumah yang sering menjadi tumpuannya setiap kali pulang ke kampung, ramai menyuruhnya menatap wajah si bapa buat kali terakhir.
Dia kaku tidak bergerak, erat memeluk tiang serambi. Mindanya kosong dan kabur. Jenazah itu adalah lelaki yang sering dikatakan bapanya selama ini!
Iklan Hari Raya – Kisah Sedih Erra Dan Arwah Bapanya





{ 1 trackback }