JAIP Gempur kaki ponteng puasa : Terbaru JAIP gempur kaki ponteng puasa dipelbagai lokasi yang menjadi port membeli makanan.
KUANTAN – Tampak tiada rasa malu atau sebarang reaksi bersalah ditunjukkan seorang kaki ponteng puasa apabila dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) ketika sedang merokok di sebuah siber kafe, di pelabuhan di sini, semalam.
Ketika premis tersebut diserbu, lelaki berusia lingkungan 30-an berkenaan sedang leka dengan permainan komputer sambil merokok sehingga tidak menyedari kehadiran kakitangan Jaip yang sebelumnya telah membuat serbuan di sebuah kedai makan bersebelahan permis berkenaan.
Terkejut dengan kehadiran anggota Jaip, lelaki berkenaan bertindak mencampakkan puntung rokok di bawah meja lalu tersengih-sengih apabila ditanya mengapa beliau tidak berpuasa.
Manakala, serbuan di sebuah kedai makan bersebelahan siber kafe tersebut menyaksikan sekumpulan lelaki telah bertempiaran lari bagi mengelak dicekup Jaip.
Sebaik sahaja kenderaan Jaip berhenti di hadapan premis makanan berkenaan, kaki ponteng puasa yang sedang menjamu selera atau mengambil makanan bertindak melarikan diri melalui pintu belakang.
Mereka tidak mempedulikan makanan di pinggan lalu lari dengan keadaan tangan tidak dicuci serta meninggalkan kenderaan begitu sahaja.
Sebelum Jaip membuat serbuan, wartawan turut melakukan tinjauan di sekitar permis makanan berkenaan dan didapati kenderaan berpusu-pusu berhenti di kedai makan itu dan selang beberapa ketika sahaja pelanggan yang beragama Islam keluar membawa bungkusan makanan.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, sebuah permis makanan milik peniaga India di Pelabuhan turut menjadi “port” bagi kalangan ponteng puasa membeli makanan.
Menurutnya, permis berkenaan beroperasi seawal pagi dan pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai kaum termasuk juga orang Islam turut membeli makanan bermula awal pagi walaupun ketika bulan Ramadhan.
“Kedai ini memang beroperasi seperti biasa memandangkan pelanggannya ramai bukan Islam tetapi bila tiba bulan puasa ramai pula orang Islam yang mengunjunginya.
“Dari awal pagi hinggalah jam 6.00 petang memang pelanggan tidak putus-putus datang dan sememangnya ramai diantaranya adalah orang Islam yang keluar masuk ke kedai ini.
“Biasanya golongan mereka ini tidak makan di situ tetapi hanya membeli makanan dalam bungkusan untuk di makan di tempat lain,”katanya – AGAMA @ forblogger.net.

