Park Ji-sung Sertai QPR : Pemain tengah Korea Selatan Park Ji-sung menyertai Queens Park Rangers (QPR) dengan kontrak selama dua tahun.

“Ini pembelian yang bagus untuk QPR,” ujar Mark Hughes selaku pengurus pasukan, yang juga merupakan bekas pemain Manchester United kepada laman web kelab itu (www.qpr.co.uk).
Kelab itu tidak mendedahkan bayaran bagi mendapatkan pemain berusia 31 tahun itu yang menyatakan dia berhasrat membantu membawa QPR ke tahap baru. Bagaimanapun laporan media menyatakan ia membabitkan transaksi 5 juta pound (RM24.7 juta).
“Dia pemain utama Manchester United dan memainkan peranan besar dalam kejayaan pasukan itu sejak menyertainya dari PSV Eindhoven pada 2005. Dia sering dipilih untuk perlawanan besar kerana mereka boleh berharap kepadanya dan kita akan memperoleh semua kualiti itu,” jelas Hughes bersemangat.
Pengerusi QPR Tan Sri Dr Tony Fernandes pula berkata: “Saya sentiasa mengimpikan yang terbaik. Apa yang bermula sebagai idea kecil kini menjadi kenyataan.”
Park adalah pemain United kedua menyertai QPR bulan ini selepas pertahanan Fabio Da Silva yang menyertai pasukan berkenaan secara pinjaman selama semusim. – Forblogger | Sukan
