Penyerang JPM Putrajaya dipercayai sakit mental : Suspek yang menyerang JPM Putrajaya petang semalam dipercayai sakit mental.
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dan wanita yang mengamuk di perkarangan Kompleks B, Jabatan Perdana Menteri Putrajaya semalam, dipercayai mengalami masalah mental, kata pihak polis.
Khalil Afandi Hamid, 47, yang telah mendakwa dirinya Imam Mahadi, dan wanita berusia 28 tahun itu juga dipercayai ekstrem dengan ajaran Islam menyebabkan mereka bertindak mengamuk dengan bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging.
Hasil siasatan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata; Khalil Afandi dan wanita itu dipercayai baru mengenali satu sama lain seminggu lepas dan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Mengulas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) hari ini, menurutnya Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur menggerakkan unit khasnya untuk menyiasat sama ada mereka ada menganggotai kumpulan ajaran sesat.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek bertindak demikian ekoran ajaran agama yang songsang. Polis sedang menyiasat sama ada suspek adalah anggota mana ajaran sesat atau tidak,” tambahnya lagi.
Mohmad berkata siasatan awal mendapati sebelum kejadian itu, mereka tiba dengan dihantar oleh sebuah kenderaan sebelum ditinggalkan di perkarangan JPM Putrajaya.
Dalam kejadian 2.30 petang semalam, Khalil Afandi mati semasa dalam perjalanan meluru ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita itu pula yang merupakan bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital sama.
Dalam kejadian itu, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan apabila usaha memujuk lelaki dan wanita itu gagal, sebaliknya mereka yang bersenjatakan pedang samurai, turut menyerang polis selain bertindak ganas dan telah merosakkan beberapa kenderaan di kawasan itu.
Mohmad menjelaskan tindakan polis terpaksa menembak kedua-dua suspek itu sebagai langkah mempertahankan diri daripada terus diserang selain menghalang tindakan ganas itu bertambah buruk dan mengorbankan nyawa orang awam di sekitar itu. Beliau meminta orang ramai supaya tidak mempolitikkan kejadian itu.
Mayat suspek Khalil Afandi dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Wanita terbabit pula ditahan reman mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307, 427 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Hakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Artikel Awal Kes Ini


{ 2 trackbacks }