Sultan Johor Ampun Banduan Sempena Ramadhan

by Harian Malaya on 18 July, 2012

in Info Riadah

Share:

Sultan Johor Ampun Banduan Sempena Ramadhan : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah perkenan untuk memberi pengampunan dengan perintah pembebasan sempena Ramadhan ke atas lapan banduan.

Perintah Sultan Johor tersebut akan berkuat kuasa pada hari Sabtu ini sempena hari pertama tahun 2012 menyambut Ramadhan 1433H.

Sultan Johor Ampun Banduan Sempena Ramadhan

Seorang individu telah diberi pengampunan untuk membersihkan nama daripada rekod sabitan kesalahan, manakala empat yang lain terlepas dari hukuman gantung sampai mati.

Sejumlah 32 kes rayuan disemak oleh Lembaga Pengampunan Negeri Johor, namun hanya 13 kes mendapat pengampunan.

Sultan Johor, SultanIbrahim telah mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor pada 19 Januari lepas. Atas nasihat daripada anggota Lembaga Pengampunan Negeri Johor, Peguam Negara dan mempertimbangkan semua aspek seperti kesalahan banduan, tempoh hukuman yang dijalani serta kemajuan pemulihan yang dicapai oleh banduan, maka Sultan Ibrahim dengan limpah kurnia dan perkenannya telah mempertimbangkan pembebasan dan meringankan hukuman kesemua banduan yang terlibat,” kata Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Obet Tawil kepada pemberita, di Kota Iskandar, di sini.

Mesyuarat Lembaga Pengampunan Negeri Johor itu turut dihadiri Menteri Besar dan Datuk Abdul Ghani Othman; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan tiga anggota lembaga pengampunan iaitu Datuk Law Boon King, Datuk Rashidi Mohd Noor dan Datuk Dr M Harjit Singh.

Datuk Obet Tawil berkata, daripada lapan banduan yang akan dibebaskan pada 1 Ramadan itu, seorang daripadanya, Sapuan Hanin, 58, merupakan banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 manakala tujuh yang lain yang berumur 41 hingga 63 tahun, merupakan banduan kes Kajian Hukuman Empat Tahun Sekali (KHETS) di bawah Peraturan 54, Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Sapuan telah menjalani hukuman penjara 24 tahun atas kesalahan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 manakala tujuh yang lain termasuk seorang rakyat Indonesia yang telah dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat itu telah menjalani hukuman penjara antara 22 dan 37 tahun serta antara enam dan 10 sebatan atas kesalahan rompakan dan menggunakan senjata api.

Empat banduan yang diringankan hukuman gantung sampai mati kepada hukuman penjara ialah banduan di bawah kes rayuan pengampunan hukuman mati di bawah Peraturan 114, Peraturan-Peraturan Penjara 2000 iaitu yang terlibat dengan kes pengedaran dadah dan bunuh.

“Tiga daripada mereka yang berumur 36 hingga 41 tahun yang telah menjalani hukuman penjara antara lapan dan 14 tahun diringankan hukuman penjara sepanjang hayat (tiada tarikh bebas) manakala seorang lagi yang berumur 57 tahun yang telah menjalani hukuman 16 tahun penjara diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup (20 tahun),” katanya.

Datuk Obet Tawil turut berharap banduan yang dibebaskan akan menggunakan peluang kedua untuk memanfaatkan diri, keluarga dan masyarakat dengan membuktikan mereka sudah benar-benar insaf.

#Tahniah kepada Sultan Johor kerana memberi peluang kedua kepada pesalah ini untuk menebus kesilapan mereka dahulu. Semoga mereka benar-benar menghargai dan menjadikan kisah lampau sebagai sempadan dimasa hadapan.

Sultan Johor Ampun Banduan Sempena Ramadhan

5.0

Previous post:

Next post: