Warga Emas Ditahan Makan Ditempat Terbuka : 3 orang warga emas beragama Islam ditahan kerana makan ditempat terbuka dalam rondaan hari pertama Ramadhan.
Tanpa perasaan segan silu, 3 orang warga emas ini makan dan minum dikedai bukan Islam, bahkan lebih teruk lagi mereka makan dan minum secara terbuka.
Tanpa memperdulikan orang ramai yang lalu dan melihat mereka, warga emas terbabit dengan selamba menghirup hidangan kopi panas sambil menikmati roti bakar.
Akhirnya, perbuatan mereka telah dikesan anggota Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) yang bertindak menyerbu kedai makan berkenaan.
“Saya mengaku saya makan tadi,” kata warga emas berusia 65 tahun itu sebaik saja beliau menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
Rahimin Bani, Ketua Penguatkuasa Jaim berkata, warga emas berkenaan merupakan seorang daripada lima yang dicekup kerana makan di khalayak ramai di bulan puasa.
“Kesemua mereka berusia 40 hingga 65 tahun itu, termasuk tiga daripadanya sudah bergelar warga emas, di tahan di kawasan ‘panas’ tempat tumpuan mereka yang ponteng puasa.
“Lebih mengejutkan, ada antara warga emas berkenaan sudah pun bergelar datuk kepada sembilan orang cucu,” katanya kepada pemberita yang mengikuti operasi berkenaan.
Selain itu, Rahimin turut melahirkan rasa kecewa kerana masih ada pengusaha kedai makan Islam yang beroperasi di siang hari, sekali gus memberi ruang kepada mereka yang tidak berpuasa.
“Tindakan peniaga ini mencemarkan imej umat Islam sendiri. Sepatutnya mereka sama-sama menghormati Ramadan dan tidak mengambil kesempatan untuk kejar keuntungan semata-mata,” katanya.
Menurutnya, kesemua yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka yang memperuntukkan denda RM1,000 dan penjara enam bulan.
Berikutan itu juga, katanya, Jaim akan terus melipat gandakan penguatkuasaan untuk memastikan kesucian Islam sepanjang Ramadan ini tidak diperlekehkan, termasuk tindakan terhadap mereka yang dikesan membeli nombor ekor pada bulan Ramadan.
Warga Emas Ditahan Kerana Makan Ditempat Terbuka

