SHAH ALAM – Penglibatan pelakon Abby Abadi di landasan politik mendapat perhatian ramai sejak menyerahkan borang keahlian menyertai Pas bulan lalu. Sejak itu dia hanya banyak menyuarakan pendapat dan menjawab pandangan serta kritikan menerusi alam siber Twitter.
Selain itu juga, pandangannya juga boleh didengari menerusi pentas ceramah atau forum anjuran parti politik Pakatan Rakyat kebelakangan ini.
Arbaieyah Abdul Manan yang lebih dikenali dengan nama Abby Abadi, mendapat pelbagai reaksi daripada peminat berikutan penghijrahannya ke dalam arena politik sebagai ahli Pas.
Abby yang kini turut berhijrah dengan imej bertudung mengakui dia tidak mengambil peduli kritikan mana-mana pihak kerana ia tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadapnya.
“Saya memang tidak ada masalah kerana apa yang dikhabarkan itu tidak betul dan fitnah,” katanya kepada wartawan ketika ditemui semasa program Ziarah Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa di Seri Muda dekat sini malam tadi.
Apabila ditanya tentang politik, Abby, antara selebriti yang aktif di dunia Twitter, menegaskan bahawa dia menolak kemungkinan penglibatannya dalam arena politik sebagai “ahli politik” secara aktif.
“Saya tidak minat langsung nak jadi ahli politik. Politik bukan bidang saya. Apa yang saya lakukan sekarang ini bukan sebab saya mementingkan politik sangat.
“Saya lebih terlibat dari segi kemanusiaan. Apa yang tidak adil. Rakyat tidak dapat hak dari segi keadilan. Perkara-perkara ini semua memang berkait dengan politik kerana kuasa pemimpin itu hanya dari jalan politik,” jelasnya.
“Saya memang tahu tahap akan kemampuan saya. Saya masih sayangkan karier saya dan suka dengan apa yang saya lalui sekarang. Jika ada rezeki, saya memang mahu kembali berlakon dengan mengikut undang-undang ALLAH,” kata pelakon yang memegang watak polis dalam drama bersiri Gerak Khas ini.
Sementara itu, mengulas kenyataannya sebelum ini berhubung artis bertudung sukar mendapat tawaran dalam bidang seni dan hiburan, beliau menjelaskan maksud sebenar kata-katanya tersebut.
“Ya, saya akui sebelum ini saya memang pernah mengeluarkan kenyataan itu tetapi saya kata untuk artis yang sudah berhijrah, yang mana memakai tudung, yang bersama dengan pembangkang, memang susah untuk mendapat tawaran daripada kerajaan,” jelas Abby.
“Saya tahu rezeki memang daripada Allah, tetapi kerajaan kita memang macam itu. Tak kira artis ke, cikgu ke, imam ke, kalau menentang mereka (kerajaan) memang akan diberhentikan.
“Ini yang patut dijelaskan, bukan saya kata yang bertudung tak boleh kerja dengan kerajaan. Perkara ini sudah dipusingkan hingga jadi lain,” katanya mengulas lanjut.


{ 1 trackback }