Bank di Lembah Kelang Kehabisan Wang Kertas Baru :Mengejutkan apabila sambutan hangat orang ramai terhadap wang kertas baru mengakibatkan bank-bank di Lembah Kelang kehabisan stok wang kertas baru tersebut.
Pasti ramai yang telah bersesak di bank untuk menukarkan wang kertas tersebut kerana hanya dalam masa beberapa hari sahaja bank di Lembah Klang sudah kehabisan stok wang kertas baru.
KUALA LUMPUR – Dengan tidak sampai 10 hari lagi Aidilfitri menjelang tiba, ramai umat Islam di sini kini sukar mendapatkan wang kertas baharu untuk diisi di dalam sampul Hari Raya.
Setelah mula mengedar wang kertas baharu minggu lepas, kebanyakan bank nampaknya sudah kehabisannya minggu ini.
Tinjauan Bernama di ibu kota mendapati kebanyakan bank kehabisan wang kertas RM5 dan RM20 sejak semalam dan malah, ada bank yang langsung kehabisan semua wang kertas baharu.
Pengurus sebuah bank di Kampung Baru berkata cawangan beliau kehabisan semua wang kertas baharu sejak semalam dan mendakwa, tahun ini, cawangan bank itu mendapat kurang wang kertas baharu berbanding tahun lepas.
“Kami tak dapat banyak tahun ini, kami mula benarkan pelanggan menukar wang kertas baharu minggu lepas dan semalam, kami kehabisan semua stok,” katanya.
Pengurus sebuah bank di Kelana Jaya pula berkata cawangan beliau mula menawarkan wang kertas baharu minggu lepas dan habis semuanya dua hari lepas.
“Kami mula minggu lepas dan yang paling popular ialah wang kertas baharu RM5, kami kehabisannya dua hari lepas. Sekarang hanya tinggal wang kertas RM1, RM10 dan RM100,” katanya.
Sementara itu, pelanggan di dua bank di Kampung Baru mendakwa sebelum ini mereka tidak dibenar menukar wang kertas, tetapi apabila mereka ingin berbuat demikian hari ini, bank menyatakan wang kertas baharu sudah habis.
Ahmad Sani Abdullah, 47 berkata beliau datang dari Shah Alam untuk mendapatkan wang kertas RM5 dan RM20, tapi tidak berhasil.
“Saya memandu nun dari Shah Alam dan singgah di semua tempat yang saya tahu ada bank, saya rasa cawangan di Kampung Baru ni adalah bank ke-10 yang saya
singgah, tapi masih tidak mendapat wang RM5 atau RM20.”
Selebriti Kartini Kamalul Ariffin adalah antara pelanggan yang belum berjaya mendapat wang kertas baharu untuk Hari Raya.
“Saya sibuk dengan beberapa hal dan terlanjur datang ke sini, saya rasa eloklah saya tukar wang sikit. Malangnya, wang kertas baharu sudah habis,” katanya.
Pelanggan sebuah bank di Kelana Jaya memberitahu Bernama beliau terpaksa berpuas hati dengan hanya mendapat wang kertas RM1.
“Memberi sampul Hari Raya berisi wang kertas baharu sudah menjadi tradisi, tapi rasanya saya sudah terlalu lewat dan oleh kerana saya tak mampu memberi RM10 dalam setiap sampul, saya terpaksa isi RM1 sahaja dalam semua sampul,” katanya. – Bernama
Bank di Lembah Kelang Kehabisan Wang Kertas Baru | Info Riadah @ Forblogger

