KUCHING – Insiden serangan buaya di Sarawak berterusan apabila seorang lagi mangsa hampir dibaham reptilia ganas tersebut di Sungai Santubong, Pending Industrial Estate di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, seorang buruh binaan warga Indonesia yang dikenali sebagai Paie (32) terpaksa bergelut selama satu minit dengan seekor buaya dipercayai daripada speses jejulong sebelum bernasib baik beliau berjaya melepaskan diri.
Lebih malang lagi, lelaki yang berasal dari Kepulauan Jawa itu dikatakan sedang mencangkung di tebing sungai untuk membuang air besar, namun belum sempat melepaskan ’hajat’, punggungnya telah digigit buaya sepanjang kira-kira dua meter itu.
Paie yang ditemui di Hospital Umum Sarawak memberitahu, sebelum kejadian, dia berseorangan turun ke tebing sungai berhampiran rumah kongsi untuk membuang air besar disitu.
“Saya baru sahaja mencangkung dan tiba-tiba saya terasa ada sesuatu menerkam punggung dari arah belakang dengan begitu kasar sekali.
“Selepas menyedari ia adalah seekor buaya, saya berpaut pada sebatang besi dan cuba meronta-ronta bagi melepaskan diri,” kata Paie.
Akibat serangan reptilia berkenaan, Paie mengalami kecederaan dan luka di punggung kanan dan juga rusuk sebelah kiri.
Paie memberitahu, dia bernasib baik kerana sempat berpaut pada batang besi di sebelahnya dan bertahan ketika cuba ditarik buaya ke dalam sungai oleh buaya tersebut.
Katanya, mungkin disebabkan rontaannya dan pautan pada besi menyebabkan buaya tersebut mengalah dan melepaskan gigitan sebelum dia melompat ke daratan bagi menyelamatkan diri.
“Meskipun saya dapat menyelamatkan diri dari nahas serangan buaya, luka akibat gigitan menyebabkan saya tidak berdaya ekoran kehilangan banyak darah sebelum rebah.

