SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Ustadz Fathul Bari Mat Jaya mempeawa Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berbincang mengenai masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan hudud di negara ini.
Fathul berkata, perbincangan perlu diadakan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam melaksanakan hukum itu kerana rakyat negara ini terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum.
Katanya lagi, pelaksanaan hudud juga perlu melalui perbahasan, perbincangan dan muzakarah yang perlu dihadiri oleh golongan profesional, ahli agama, diketuai Raja-raja Melayu, penguat kuasa, pentadbiran, badan kehakiman, wakil-wakil politik dan sebagainya.
“Kalau serius mahu ia dilaksanakan, kita duduk berbincang bersama-sama. Saya mempelawa Nik Aziz dan Pas bincang bersama-sama menelusi dan menyelesaikan masalah pelaksanaan hukum tersebut.
“Terdapat banyak masalah dihadapi untuk melaksanakan hukum itu, antaranya ialah Pas hanya meletakkan masalah pelaksanaan hukum hudud di negara ini kepada Umno, sedang Umno sendiri melihat ada halangan untuk melaksanakannya kerana masyarakat majmuk,” katanya.
Ustadz Fathul Bari berkata demikian ketika mengulas gesaan Nik Aziz agar Umno membentangkan hudud versi parti Umno yang dikatakan adil.
Beliau berkata berkata, banyak pemimpin pembangkang, malah beberapa pemimpin Pas juga turut sependapat menyatakan tidak sesuai hukum hudud dilaksanakan sekarang kerana banyak halangan dan keadaan belum sesuai.
Beliau berkata lagi, hudud tidak boleh mempunyai versi parti politik kerana untuk laksanakan hukum hudud perlu berdasarkan hukum Islam yang sebenar.
“Saya menyangkal kenyataan beliau untuk membentangkan hudud versi Umno, saya tidak setuju. Sekiranya hukum hudud pun mempunyai versi Umno atau Pas bermakna hukum itu dilaksanakan berdasarkan parti politik,” katanya.

