Hajat Beraya Tidak Kesampaian Mati Dirogol: Hajat seorang gadis berasal dari Tawau Sabah untuk pulang beraya bersama keluarga di kampung tidak kesampaian setelah dirogol dan dibunuh.
Kejadian tersebut berlaku di sebuah unit flat di Jalan Taming 2, Taming Jaya dekat Balakong di sini kelmarin.
Mayat Sabturiah Faisal, 19, berasal dari Kampung Merotai Besar dekat Tawau ditemui dalam keadaan terlentang di dalam bilik tidurnya oleh abang ipar mangsa pada pukul 7 malam.
Kakak mangsa, Samsiah Faisal, 27, semasa ditemui berkata, dia dan suaminya yang pulang ke rumah untuk berbuka puasa bersama Sabturiah terkejut melihat adiknya yang sudah tidak bernyawa di atas lantai di dalam bilik tidur gadis itu.
“Saya balik kerja kerana mahu berbuka puasa bersama-sama tetapi apabila sampai di rumah saya melihat tubuhnya terlentang dan sudah tidak bernyawa.
“Ketika saya jumpa, dia berpakaian lengkap (baju T dan seluar sukan) tetapi ada kesan lebam pada tangan kanan,” kata Samsiah semasa ditanya di tempat kejadian di sini.
Polis yang menyiasat mayat mangsa mendapati terdapat kesan lebam pada leher, perut dan tangan kanan anak ketujuh daripada 12 beradik itu.
Difahamkan, pihak polis turut menjupai kesan tompokan air mani di bilik mangsa dan mengesyaki gadis itu menjadi mangsa rogol oleh individu yang dikenalinya.
Menjelas lanjut, Samsiah memberitahu, dia dan suami yang telah membuat pemeriksaan di dalam rumah mendapati beberapa barang berharga dan wang tunai sebanyak RM500 miliknya lesap.
“Tiada kesan umpil dan keadaan rumah saya juga tidak berselerak seolah-olah penjenayah tersebut tahu tempat kami menyimpan barang berharga,” katanya dengan memberitahu jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan sebanyak RM3,000. - Hajat Beraya Tidak Kesampaian Mati Dirogol

