PETALING JAYA: Raja Pop tanah air, Jamal Abdillah mengakui sikap yang sangat pemalu yang ada dalam hidupnya untuk memikat wanita membuatkan dia masih lagi solo walaupun sudah lebih daripada lima tahun menduda selain dari ketentuan jodoh ilahi.
Jamal Ubaidillah Ali (53) yang lebih dikenali sebagai Jamal Abdillah berkata, perasaan itu membuatkan keinginannya untuk memiliki sebuah cinta terhalang dan sikap pemalu itu membuat dia sering berharap agar wanita yang disukainya mengambil langkah memikatnya terlebih dahulu.
“Itulah masalah besar bagi saya, tak reti nak pikat perempuan. Rasa malu itu lebih tebal daripada keinginan yang dalam.
“Sebagai manusia normal, sudah menjadi fitrah inginkan pasangan untuk menjadi teman hidup sehingga akhir hayat, tidak terlepas juga saya.
“Entahlah susah saya nak jelaskan. Saya melayan semua sebagai peminat. Tetapi apabila berkenan dengan seseorang dalam sesebuah majlis dan ingin memulakan perkenalan, saya risau dengan kata-kata negatif orang. Sudahlah saya ini pemalu, nak memikat pun tak reti,” seloroh Raja Pop itu.
Tambah Jamal, keadaannya kini yang semakin berusia juga antara penyebab dia semakin segan, berlainan semasa di zaman mudanya dahulu.
Ditanya apakah ciri-ciri wanita idaman, penyanyi yang popular dengan lagu Aku Maafkan Kamu dan Di Penguhujung Rindu itu berkata, dia lebih senang berdamping dengan seorang wanita yang berilmu pengetahuan dan sedap mata memandang.
“Kalau boleh saya mahu seorang isteri yang lebih tinggi mental’nya daripada saya. Mengikut kata orang tua-tua, wanita yang lebih tinggi daripada suaminya mampu membuatkan rumah tangga bertahan dan kekal sehingga ke anak cucu.
“Selain itu dia mestilah seorang yang lemah lembut. Karakter itu mampu meruntun hati terutamanya apabila saya dalam keadaan yang marah,” ujarnya lagi.
Mengulas perkembangan terbaru, Jamal kini sedang membuat persiapan bagi menjayakan Konsert Gemilang Malaysia bersama Datuk Ahmad Nawab dan Datuk Khadijah Ibrahim.
Ia akan diadakan di Dewan Jubli Perak, Kuantan, Pahang pada 29 September 2012 dan 13 Oktober di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen di ibu kota.
Tiket yang berharga RM100 hingga RM500 boleh ditempah menerusi ticket2u.biz atau terus hubungi 03-41478600 – HIBURAN @ forblogger.net.

