Kepala Disambar Petir Ketika Cas Handphone : Seorang lelaki terbunuh disambar petir di kepala ketika sedang cuba mencabut pengecas telefon bimbitnya.
Dalam kejadian jam 7 malam itu yang berlaku di Ladang Sungai Merbau, Ulu Sungai Endau, ketika kejadian, Mohd Nazrun sedang mencabut alat pengecas telefon sebelum sambungan berkenaan disambar petir lalu menyambar kepalanya.
Rakannya, Muhammad Ikhwan Muhammad, 19, yang berdiri berdekatan ketika kejadian, parah dan dihantar ke Hospital Mersing sebelum dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Bagaimanapun, seorang rakan mereka, Johari Mohd Sood, 41, terselamat.
Ketika ditemui di Hospital Mersing, malam kelmarin, Johari berkata, kejadian itu menyebabkan soket elektrik terbakar, manakala dinding rumah kongsi mereka pecah hingga pelbagai barangan berselerak sejurus kejadian.
“Sejurus dentuman guruh dan kilat menyambar, saya lihat dua rakan terpelanting sambil menggelupur dan mengerang kesakitan… saya tak mampu buat apa-apa ketika suara Nazrun semakin lemah kecuali bergegas mendapatkan bantuan rakan lain di ladang untuk menghantar mereka mendapatkan rawatan,” katanya.
Ketua Polis Rompin, Deputi Superintendan Johari Jahaya, berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Muadzam sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Selendang 1, Rompin.
“Saya mahu kerja hari ini saja, esok tidak lagi sebab saya masih bercuti, maklumlah raya dah dekat,” itu kata-kata akhir Mohd Nazrun Othman, 27, yang maut disambar petir di rumah kongsi tempat dia bekerja, kelmarin.
Ibu saudara mangsa, Mariani Omar, 30, ketika ditemui di rumahnya di Felda Selendang, Rompin berkata, perubahan sikap mangsa yang seolah-olah berat hati untuk pergi bekerja sebenarnya petanda dia meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.
Katanya, arwah yang bekerja sebagai pemandu lori masih bercuti namun bekerja pada hari kejadian kerana mahu mengumpul lebih banyak wang menjelang Aidilfitri, namun pada masa sama berat hati meninggalkan keluarga dan dilihat termenung di depan rumah biarpun enjin motosikalnya sudah dihidupkan.
Tak sangka dia meninggalkan kami dalam suasana Ramadan ini. Kami amat terasa kehilangannya kerana dia anak lelaki tunggal daripada enam beradik dalam keluarganya,” katanya.
Kepala Disambar Petir Ketika Cas Handphone | Info Riadah @ Forblogger


{ 1 trackback }