Merdeka: Najib ucap esok, Anwar di Shah Alam malam ini

by Black Hat on 30 August, 2012

in Info Politik

Share:

Merdeka : Najib ucap esok, Anwar di Shah Alam malam ini

SHAH ALAM – Kurang dua jam lagi menjelang detik pukul 12 tengah malam, sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 bakal berlangsung di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dan orang ramai bakal menyaksikan kemuncak acaranya iaitu pertunjukan bunga api selama lebih kurang tujuh minit.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandar Raya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, sebelum kemuncak itu, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu patriotik dan persembahan band daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Kerajaan Negeri Selangor turut menyediakan persembahan kebudayaan dan kesenian dibawakan oleh Perbadanan Adat-adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) bagi menyerikan majlis telah bermula sejak jam 8.30 malam ini.

“Turut mengambil bahagian dalam perbarisan bersejarah ini termasuklah kakitangan agensi-agensi Kerajaan Negeri Selangor,” katanya ketika dihubungi wartawan hari ini.

Tambah beliau lagi, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan memberi ucapan kemerdekaan pada pukul 10 malam manakala Penasihat Ekonomi Negeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka berucap menjelang detik 12 malam nanti.

“Menariknya, tema kemerdekaan yang kami bawakan ini berbeza dengan kerajaan pusat.

“Kami akan menyambut kemerdekaan menggunakan tema yang berbeza iaitu Sebangsa Senegara Sejiwa iaitu tema Pakatan Rakyat (PR) bagi menyambut Hari Kemerdekaan negara di peringkat negeri,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, laluan jalan raya di Persiaran Damai, Persiaran Bandaraya ditutup kepada kenderaan bagi memastikan majlis malam ini dan kawalan lintas dibuat oleh penguasa MBSA sendiri.

Sementara itu juga, di Kuala Lumpur turut menjadi tumpuan bagi merayakan sambutan ambang kemerdekaan malam ini.

Antaranya Kuala Lumpur City Centre (KLCC) bakal memukau orang ramai yang hadir dengan pertunjukan KLCC Lake Symphony Fountain.

Malah malam ini beberapa persembahan daripada artis-artis tempatan turut akan memeriahkan acara yang dijadualkan pada jam 9 malam ini disitu.

Acara kemuncak antara yang dinanti, iaitu pertunjukan bunga api bakal berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas.

Sambutan tersebut akan dijalankan di Esplanade, KLCC Park.

Manakala esok, lokasi bersejarah Dataran Merdeka di ibu negara akan menjadi tumpuan perbarisan manakala Perhimpunan Merdeka 55: Janji Ditepati di Stadium Nasional Bukit Jalil.
- POLITIK & BERITA TERKINI @ forblogger.net.

5.0

Previous post:

Next post: