Misha Omar Akui Tunang Bukan Lelaki Idaman: Penyanyi Misha Omar mengakui tunangnya bukanlah lelaki idaman tetapi mengakui dia kini pelengkap hidupnya.
Melalui laman blog hiburan GUA, penyanyi wanita Misha Omar atau nama penuhnya Samihah Omar yang telah bertunang dengan jejaka pilihannya, Firos Ezzwan Rossly mengakui juruterbang MAS itu bukanlah lelaki yang diidamkannya. Namun begitu Misha memberitahu lelaki idamannya belum tentu dapat membahagiakan dirinya seperti tunangnya kini.
“Kalau ikutkan minat, saya memang tidak suka dengan lelaki bertubuh gempal atau besar. saya suka lelaki Metroseksual. Firos tidak mempunyai ciri lelaki idaman saya itu. Namun, saya pilih dia kerana keikhlasan dan kebaikan hati-budinya. Saya tahu dia menyayangi saya dengan sepenuh hati. Kalau saya dapat lelaki idaman sekali pun, belum tentu dia boleh menyayangi saya seperti Firos lakukan. Kami saling menggagumi dan dia adalah lelaki terbaik untuk dijadikan suami dan ayah kepada anak saya. Dia melengkapi hidup saya,”
Pada masa yang sama, wajah baru Shiseido ini mengakui hidupnya kini semakin seimbang selepas bergelar tunangan orang. Menurut Misha, hatinya lebih tenang dan sentiasa berbunga memandangkan orang dicintai sentiasa bersamanya.
“Selepas bertunang saya dapat merasakan perbezaan dalam hidup saya. Dahulu orang sering buat spekulasi tentang status perkahwinan saya. Kini cerita-cerita begitu tidak kedengaran lagi. Hati saya rasa lebih tenang dan sudah tentu saya kini bahagia. Macam yang saya katakan tadi, Firos melengkapi hidup saya. Dia sentiasa cuba menggembirakan saya.
Walaupun kadang-kala berlaku perselisihan faham, tetapi kami berjaya mengharungi cabaran itu. Maklumlah alam pertunangan ini dugaannya besar. Orang kata ‘darah manis’. Kalau ada perkara yang menimbulkan rasa kurang senang antara kami berdua, kami akan berbincang dengan baik. Saya bangga dengan pencapaian kami hari ini. Tempoh bertunang ini adalah masa terbaik untuk kami belajar menyesuaikan diri,” ujar Misha dengan wajah berseri-seri.
Ditanya tentang tarikh perkahwinan, Misha sekali lagi menjelaskan bahawa sehingga kini dia masih belum memilih tarikh yang diinginkan.
“Kalau boleh hendak selesaikan tahun hadapan. Kami memang hendak langsungkan perkahwinan cepat-cepat. Begitu juga dengan keluarga kedua-dua belah pihak. Tetapi, kami harus berfikir secara rasional. Firos masih dalam latihan kerja. Saya tidak mahu bebankan dia dengan memikirkan persiapan perkahwinan. Komitmen kerja lebih penting. Biarlah dia selesaikan latihan penerbangan dahulu sebab sekarang ini dia sering tertekan. Buat persiapan perkahwinan ini bukannya mudah. Banyak perkara yang perlu difikirkan. Saya tak mahu bebankan dia dengan lain-lain tanggungjawab,”
- Misha Omar Akui Tunang Bukan Lelaki Idaman

