Muka selamba buat maksiat

by Black Hat on 28 August, 2012

in Info Riadah

Share:

KUANTAN – “Seolah-olah mereka sudah biasa melakukan perbuatan terkutuk itu. Mereka berani keluar-masuk ke hotel bajet dengan muka tidak bersalah,” kata Mamat Ibrahim, 60, pemandu teksi di Jalan Pasar, di sini.

Katanya, apa yang lebih memalukan, kebanyakan pelanggan yang mendaftar masuk ke hotel berdekatan kawasan itu adalah golongan remaja Islam.

“Saya pun tak pasti sama ada mereka orang sini atau orang luar. Tapi kebiasaannya jika ada sebarang sambutan atau program besar di sini, orang luar biasanya yang ramai datang menginap di hotel bajet ini.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan ada di antara mereka yang tinggal di Kuantan, tetapi sanggup mengeluarkan duit semata-mata hendak bermalam dengan kekasih masing-masing,” katanya ketika ditemui semalam.

Muka selamba buat maksiat Lokasi yang sering menjadi tumpuan kekasih untuk melepaskan nafsu

Dia juga memberitahu kebiasaannya mereka akan mula mendaftar masuk sekitar jam 6.30 petang sehingga lewat malam.

“Mereka daftar masuk tak tentu masa. Kadangkala saya sendiri tak sedar bila mereka masuk, tahu-tahu sahaja keesokan harinya mereka sudah keluar.

“Mereka sedikit pun tidak ambil peduli dengan pandangan masyarakat, malah merasa bangga dengan apa yang mereka lakukan. Bagi mereka, orang ramai tidak berhak untuk menegur perbuatan mereka. Sebab itulah mereka berani buat apa sahaja,” katanya.

Hotel bajet dipilih kerana sewanya yang murah

Tambahnya, ada di antara remaja terbabit menaiki teksinya untuk pulang ke rumah selepas menunaikan ‘hajat’ masing-masing.

“Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman Kuantan. Bila ditanya, mereka jawab hari sudah lewat malam serta tiada kenderaan jadi terpaksa bermalam di hotel murah ,” katanya.

“Kawasan itu bukan hanya menjadi tumpuan remaja ketika sambutan hari kemerdekaan atau Tahun Baru, tetapi menjadi tempat persinggahan setiap malam minggu.tambahnya lagi yang telah lebih 20 tahun memandu teksi.<

Manakala, Zainon Mamat, 28, seorang peniaga tudung dan pakaian muslimah pula memberitahu kadangkala golongan ini mendaftar masuk sekitar jam 9 pagi.

“Mereka memang bijak,hinggakan ada yang terlepas daripada ditahan pihak berkuasa.Seolah-olah sudah tahu waktu operasi Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).

“Jika nampak ada pasangan yang mencurigakan masuk ke dalam hotel kawasan ini saya memang tidak berani tegur . Saya bimbang, jika ditegur mereka akan buat perkara yang tidak diingini.

“Golongan macam ini sanggup buat apa sahaja asalkan dapat melepaskan diri. Jadi bila saya nampak sesuatu yang mencurigakan, saya akan segera menghubungi pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya lagi,perbuatan ini memang sukar dibendung jika ada pihak yang tidak memberikan kerjasama terutama pemilik hotel murah.

“Jika mereka tidak berkompromi dan tegas, mungkin aktiviti maksiat ini dapat dikurangkan. Namun, disebabkan nak kejar keuntungan pemilik hotel murah ini tidak peduli sama ada pelanggan itu muhrim atau tidak,” katanya.

Ambil tindakan tegas

Sementara itu, bagi Madri Mohd, 61, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap semua remaja yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral itu bagi mengelakkan ia terus berleluasa.

“Saya tidak pasti sejauh mana keberkesanan operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa. Semakin hari aktiviti ini semakin rancak seolah-olah mereka tidak takut dengan pelaksanaan undang-undang yang ditetapkan.

“Mungkin mereka sudah dapat membaca pergerakan pihak berkuasa, sebab itulah masing-masing berani mengusung teman wanita naik ke bilik,” katanya.

Apa yang lebih menyedihkan, dia sendiri pernah melihat teman wanita yang mendaftar masuk manakala yang lelaki menunggu di bawah.

“Kita faham, pihak berkuasa mungkin tak mampu untuk menempatkan pegawai mereka 24 jam di hotel-hotel murah, namun saya harap sangat mereka dapat mempertingkatkan lagi operasi bagi mengurangkan
aktiviti tidak bermoral ini.

“Saya bimbang, jikaperkara ini tidak dibendung, masalah pembuangan bayi akan meningkat serta merosakkan masa depan remaja itu sendiri. Kita memerlukan generasi muda untuk membangunkan negara.Jika generasi muda sudah rosak, bagaimana pembangunan negara kita pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini Jaip telah memberi amaran supaya tidak mencemarkan sambutan ambang merdeka dengan melakukan maksiat dan perkara yang ditegah agama.
Jaip juga tidak akan berkompromi dengan golongan yang jelas menyalah ertikan sambutan kemerdekaan dengan melakukan perkara tidak senonoh sehingga melanggar hukum syarak.

5.0

Previous post:

Next post: