SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Kabinet agar membincangkan semula Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, yang diluluskan baru-baru ini, ekoran bantahan dan kritikan pelbagai pihak – pemimpin Barisan Nasional, Pakatan Rakyat dan pertubuhan bukan kerajaan termasuk protes pengguna internet seluruh tanah air semalam.
Menerusi mesej Twitternya malam tadi, Najib berkata, sebarang tindakan kerajaan seharusnya mengutamakan kepentingan rakyat.
“Apa jua kita lakukan, kita harus mengutamakan rakyat,” dalam satu tweet beliau yang kini berada di Makkah.
Difahamkan kabinet akan mengadakan mesyuarat mingguannya esok yang akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pagi tadi, memetik laporan bahawa parti komponen Pakatan Rakyat juga turut memperlihatkan pendirian menyokong kempen protes #STOP114A – menggesa Kerajaan Pusat mengkaji semula Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, yang telah dikuatkuasakan sejak Jun lalu.
Dalam satu kenyataan media hari ini, PKR berkata, pihaknya telah menerima banyak tentangan dari pelbagai sudut masyarakat, termasuk dari ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) sendiri berhubung Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 ini.
Timbalan Ketua Penerangan PKR, Sim Tze Tzin berkata, pindaan akta tersebut akan meletakkan beban membuktikan kesalahan pada pihak yang dituduh dan bukannya kepada pihak yang menuduh, yang jelas bercanggah dengan dasar dan prinsip keadilan satu-satu kanun.
Sementara itu, gesaan berhubung seksyen tersebut juga turut dilahirkan oleh Ketua Pemuda BN dan Umno, Khairy Jamaluddin semalam.
Kempen protes turut berlangsung apabila orang ramai melahirkan sokongan dengan menandatangani petisyen dan memasang banner di blog. Laman sosial Facebook juga dibuka bagi tujuan itu.
Dalam kenyataannya dua hari lalu, Khairy yang juga Ahli Parlimen meminta perhatian kerajaan untuk menambahbaik Akta Keterangan 1950 yang berkuat kuasa 1 Jun lalu itu.
Menurut beliau, akta tersebut dilihat masih terdapat kekurangan dan mempunyai ruang untuk diperbaiki bagi menjamin kebebasan pemilik laman web walaupun telah dipinda.
Katanya, peruntukan yang dimaksudkan adalah dari segi kebebasan dan kebertanggungjawaban pihak yang mengendalikan web.
“Saya telahpun membangkitkan isu beban bukti kepada peguam Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz untuk mendapat perhatian yang sewajarnya dari pihak kerajaan,” katanya.
Sebelum itu, dalam masa yang sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah berkata, terdapat beberapa kelemahan dalam pindaan akta itu.
Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) (No.2) 2012 memperlihatkian pindaan Fasal 2 yang bertujuan mengantikan takrif Komputer yang baru lebih komprehensif dan selaras dengan takrif Komputer dalam Akta Jenayah Komputer 1997.
Fasal 3 Rang Undang-Undang tersebut pula memperuntukkan memasukkan seksyen baru, 114A bagi membolehkan mahkamah membuat anggapan fakta dalam kes yang melibatkan penyiaran melalui internet.
Semalam, beberapa pengikut akaun Twitter Khairy juga turut meminta beliau membawa perkara itu ke Parlimen.
Pandangan tersebut disampaikan apabila Khairy berkata Parlimen akan bersidang mulai 24 September hingga 27 November ini.


{ 2 trackbacks }