SHAH ALAM – Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan Pas beri gambaran yang salah mengenai hukum hudud sehingga ia ditentang keras pemimpin tertinggi DAP sekaligus mengelirukan orang bukan Islam.
Menurutnya, Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (ii) 1993 (Hukum Hudud) yang telah diluluskan DUN Kelantan telah menimbulkan salah faham hingga kini.
Kata Asri, sebagai contoh dalam kes rogol, enakmen itu tidak jelas dan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang bukan islam mungkin terkeliru dengan memikirkan hanya memerlukan empat saksi bagi menghukum si pesalah.
“Saya sudah menjelaskan perkara ini harus ditelusi lagi, sejak dulu lagi bahawasa pesalah rogol masih boleh dihukum jika tidak mempunyai empat saksi, maka qarinah diguna pakai iaitu bukti kukuh lain.
“Jadi Pas sebagai rakan DAP dalam Pakatan Rakyat (PR) gagal menerangkan kepada mereka mengenai undang-undang Islam sebenar,” katanya kepada wartawan, semalam.
Mohd Asri mengulas pendirian Karpal yang mengulangi pendiriannya menentang keras hukum hudud dengan menyifatkan ia sebagai mustahil dipraktikkan di negara ini dan gagal membendung jenayah melui artikel (Hudud hanya dilaksana dalam negara Islam – Karpal) ini.
Menurutnya, Pas perlu bertindak lebih telus dengan menerangkan hukum hudud kepada rakan dalam PR, selain semak semula tafsiran hudud yang dicanangkan agar ia benar dan tepat.
Dr Asri turut menggariskan tiga golongan yang mengkritik hudud. Golongan pertama kritik hudud kerana membenci hukuman itu semata-mata kerana ia terkandung dalam Islam.
“Golongan pertama adalah mereka yang sudah rosak akidahnya. Golongan kedua pula kritik kerana pentafsiran hudud itu sendiri, iaitu nas yang tidak jelas seperti berapa kadar yang perlu dipotong, latar dan syarat sebelum laksanakannya.
“Golongan kedua ini tidak terkeluar dari agama kerana mereka hanya mempertikaikan pendapat, tetapi setuju dengan hukuman tersebut,’ katanya.
Golongan ketiga pula, mereka yang mahukan hudud, tetapi tidak melaksanakannya kerana keadaan dan suasana yang tidak kondusif dalam sesebuah negara Islam.
Mengulas kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai hudud yang mahu dilaksanakan Pas di Kelantan, Dr Asri menegaskan tindakan Dr Mahathir tepat kerana melihat enakmen itu tidak lengkap.
“Hukum itu yang dilaksanakan pada sesetengah negara telah disalah guna menyebabkan salah faham dan gambaran negatif kepada orang ramai,” katanya.
- AGAMA & POLITIK @ forblogger.net.


{ 1 trackback }