KUALA LUMPUR – Pelakon, Rozita Che Wan meluahkan rasa kesyukuran apabila melihat adiknya iaitu pelakon Ayu Raudah yang kini sudah berhijab sebaik pulang dari mengerjakan umrah.
Malah, pelakon ini memberitahu dia pernah meluahkan pandangan terhadap adiknya itu mengenai bertudung.
“Syukur Alhamdulillah, Ayu sudah pun bertudung. Dari dulu lagi, saya pernah cakap dengan dia supaya bertudung. Saya ada kata kepadanya, dia lebih cantik apabila mengenakan tudung.
“Sekarang ini, dalam adik-beradik saya semuanya sudah berhijab, hanya saya seorang saja yang masih belum bertudung lagi. Setakat ini, tidak ada pula suara sumbang yang mengata saya tentang ini. Berani mereka nak carut saya.
“Lagi pun, kesemua adik-beradik saya bertudung bukanlah atas paksaan. Insya-Allah, saya memang nak sangat bertudung. Mungkin, saya bertudung selepas berkahwin nanti. Tetapi saya tidak tahu bila saya akan berkahwin,” katanya ketika dihubungi wartawan.
Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Rozita Che Wan berasa agak sedih kerana adik-beradik yang lain tidak dapat bersama beraya pada hari raya pertama. Kerana pelakon ini tidak boleh melupakan saat manis yang berlaku pada pagi lebaran tahun lalu.
“Pagi raya kali ini, mungkin tiada gelak ketawa seperti tahun yang lalu. Kakak dan Ayu tidak pun beraya bersama. Tahun lalu, kami semua tergelak besar apabila Zaquan memakai baju Melayu yang singkat.
“Karenah akak saya pula, telah menggosok baju anaknya sampai lengan baju melayu itu koyak. Apapun, tahun ini saya pulang ke kampung secara konvoi dengan adik ipar saya, Mazlan Pet Pet,” ujar Rozita.
Berjaya mengadakan majlis rumah terbuka pada hari raya ketiga di Alor Setar Kedah, Rozita memberitahu, Ayu Raudah sempat pulang ke kampung pada hari raya kedua.
“Kami sekeluarga ada buat majlis open house pada raya ketiga. Waktu itu, Ayu dah balik kampung. Pada hari raya keempat iaitu hari ini pula, saya sekeluarga akan menemani Ayu menonton bola kerana Zaquan ada games di Alor Setar.
“Saya tidak menjemput semua lelaki yang pernah dikaitkan dengan saya. Mereka pun bukannya boyfriend saya. Di sini pun nanti, dah ramai tetamu yang akan datang.
“Saya pun akan membuat open house di rumah saya di Kuala Lumpur. Mungkin pada 14 September nanti,” jelasnya.
Rozita bakal mengambil cuti panjang sehingga 25 Ogos 2012. Selepas itu, dia akan menyambung penggambaran drama sehingga penghujung tahun ini – ARTIS MALAYSIA @ forblogger.net.


