GOMBAK – “Apa salahnya?” Itu reaksi Pengerusi Bersama Bersih 2.0, A. Samad Said ketika diminta mengulas kritikan beberapa pihak berhubung penganjuran Himpunan Janji Bersih 2.0 pada 30 Ogos menjelang sambutan Hari Kemerdekaan nanti.
Himpunan itu akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Sasterawan Negara ini menegaskan bahawa Dataran Merdeka adalah tempat awam yang menjadi milik rakyat dan tidak harus ada halangan untuk mengadakan sebarang majlis berkepentingan rakyat mahupun perhimpunan.
“Dataran Merdeka adalah tempat simbolik. Tempat pembebasan daripada penjajah. Ia bukan hak kerajaan, tapi ia hak rakyat. Jadi sesiapa pun boleh,” kata Pak Samad.
Beliau ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) di sini malam tadi.
Semalam, Datuk Saifuddin Abdullah (Ahli Majlis Tertinggi Umno) melahirkan pandangan bahawa himpunan itu tidak wajar diadakan pada hari berkenaan di Dataran Merdeka menjelang ambang sambutan kemerdekaan nanti.
Saifuddin yang juga adalah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi membidas penganjuran Himpunan Janji Bersih sambil menyifatkan langkah itu mengganggu kelancaran sambutan Hari Kemerdekaan.
Katanya, pelancaran sambutan Hari Kemerdekaan tidak sewajarnya diganggu dengan aktiviti bercorak politik yang sedemikian.
Beliau menegaskan sambutan Hari Kemerdekaan adalah program negara bukan program politik.
Lebih 20 NGO mahu menganjurkan Himpunan Janji Bersih sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 berhubung dengan lapan tuntutan Bersih 2.0, yang telahpun diadakan menerusi Perhimpunan Bersih Julai 2011 dan April lalu.
Mengumumkan perkara itu di ibu negara kelmarin, Pak Samad berkata, tujuan utama himpunan itu adalah untuk membawa mesej rakyat yang mahukan Malaysia menjadi negara bersih dan juga adil.
Mengulas lanjut kritikan itu malam tadi, Samad berkata: “Apa salahnya? Dia (Saifuddin), boleh kata apa saja. Kita sama-sama mahu sambut merdeka. Kami pula boleh adakan (himpunan) di mana saja.”
Menurutnya lagi, sewajarnya himpunan itu langsung tiada halangan daripada mana-mana pihak pun.
Mengulas isu baju kuning yang akan dipakai oleh peserta program tersebut, beliau menjawab: “Kuning itu bukanlah warna yang haram.”
Tambah Samad: “Baju kuning itu hanya simbolik mereka. Orang ramai yang hadir boleh pakai apa saja tetapi sebaiknya biarlah warna kuning untuk menunjukkan hasrat yang adalah satu.”
Beliau menolak keras apabila ada dakwaan yang mengaitkan Himpunan Janji Bersih itu dengan permainan politik negara.
“Tidak wujud politik. Bersih itu sendiri bukan politik, apa lagi digabung dengan kelompok NGO lain yang tidak mewakili dunia siasah,” tegas A. Samad Said

