KUALA LUMPUR - Seramai kira-kira 800 siswa menyertai perarakan di ibu kota semalam yang difahamkan menuntut pilihan raya kampus yang bersih dan berintegriti.
Kumpulan pelajar ini mula berkumpul di kawasan Masjid Jamek dan seterusnya berarak pada kira-kira jam 2.30 petang menuju ke kawasan pusat membeli belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman, melalui Jalan Raja Laut.
Sebilangan dari mereka membawa bendera Jalur Gemilang dan kain rentang antaranya bertulis “sistem pengundian yang telus”, “peruntukan dana calon” dan “penetapan tarikh PRK”.
Kumpulan berkenaan juga turut melaung-laungkan slogan “bangkit anak muda”, “tolak penipuan” dan “hidup mahasiswa”.
Turut kelihatan, maskot bagi Pro-Mahasiswa iaitu ‘Mat Gempak’.
Sekumpulan anggota polis dilihat berkawal di sekitar kawasan Dataran Merdeka dan Masjid Jamek dan mengawal kumpulan pelajar yang berarak tersebut. Anggota keselamatan turut memberi amaran kepada para siswa berkenaan agar tidak menghalang lalu lintas dikawasan yang terlibat.
Perarakan ini disertai oleh Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Aksi Mahasiswa Peduli (AKSI).
Setibanya di kawasan pusat membeli-belah Sogo, kumpulan siswa yang berarak berkenaan duduk dan mendengar ucapan daripada pimpinan pelajar yang hadir kira-kira 30 minit.
Kumpulan itu kemudiannya meneruskan perarakan melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman menuju Dataran Merdeka di mana kumpulan itu membawa ‘Deklarasi Mahasiswa’ beramai-ramai dan menyanyi lagu Negaraku sebelum bersurai pada kira-kira jam 4.15 petang.
Pada sidang media selepas perarakan ini, Pengerusi Pro-Mahasiswa Nasional, Edikoup Lakip Sediyanto berkata tindakan yang diadakan hari ini adalah bersempena Hari Malaysia dan menuntut agar enam tuntutan pihaknya dilaksana sebelum pilihan raya kampus diadakan nanti.
“Kita minta agar enam tuntutan ini dilaksanakan. Memandangkan pilihan raya kampus semakin hampir, kita akan desak. Apa yang kita nak buat ini bukan untuk masa sekarang tapi untuk masa akan depan,”
kata Edikoup di sini semalam.
Menurutnya enam tuntutan tersebut ialah,
- penetapan tarikh pilihan raya kampus,
- mahasiswa terlibat menguruskan pilihan raya kampus,
- pemantauan pilihan raya kampus,
- kebebasan berkempen,
- sistem pengundian telus,
- dan peruntukan dana kepada calon.
Sementara itu, ketika ditemui wartawan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad berkata pihaknya akan menjalankan siasatan berhubung kesalahan yang dilakukan siswa berkenaan dalam perarakan hari ini.
“Kita akan siasat. Terdapat dua kesalahanmeeka telah lakukan. Pertama, tidak beritahu polis untuk mengadakan perhimpunan dan kedua kerana mengadakan protes jalanan lagi. Semua ini akan disiasat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012,”
ujar Zainuddin.

