Akhil Hayy, Artis Islam Haram Dapat Penajaan Minuman Keras : Akil Hayy menegaskan haram hukum bagi artis Islam mendapat penajaan dari minuman keras.
Ustaz Akil Hayy berkata demikian ketika ditemubual oleh para wartawan. Ikuti temuramah tentang apa yang dikatakan oleh Ustaz Akil Hayy dibawah.
“Saya bukannya nak mengeruhkan keadaan. Sebagai umat Islam, semua orang tahu hukum melibatkan diri dengan perkara berkaitan dengan arak adalah haram. Dalam hadis Nabi Muhammad SAW pun ada menyebutnya.
“Apa yang saya cakap ini pun semuanya berlandaskan Sunnah Nabi. Orang yang melibatkan dengan arak tidak kiralah sama ada orang itu minum, membawa, mengangkat, memandu lori dan apa jua tentang arak adalah haram. Termasuklah dalam isu mendapat penajaan dari syarikat minuman arak ini.
“Sebagai artis, sebolehnya kita cuba mengelak. Secara logiknya, banyak lagi syarikat bukan arak boleh menjadi penaja. Saya percaya, negara kita masih belum lagi ketandusan penaja,” katanya
Meneruskan hujahan, Akhil menjelaskan apa yang dibangkitkan ini adalah perkara yang menyentuh hukum.
“Ini soal hukum. Kadang-kadang, kita terlepas pandang soal ini. Artis yang terlibat ini pun perlu lebih berhati-hati. Dari segi hukum, arak bukanlah satu hukum yang samar-samar. Sudah terang lagi bersuluh, arak adalah najis dan haram.
“Sebagai artis, dia berhak memilih. Pilihlah pada penaja yang tiada kena mengena dengana arak. Sebenarnya, pemakaian T-shirt bola yang ada lambang arak pun tidak boleh. Saya pasti, perkara ini akan mengundang kontrovesi.
“Saya bukan nak menyerang artis ini, saya berikan komen dari konteks yang afdal. Perkara ini juga mengingatkan pada diri saya sendiri. Hiburan ada dua jenis iaitu hiburan terkawal yang dibenarkan Islam dan hiburan yang diluar kawalan,” jelasnya.
Menyentuh mengenai perkara memboikot persembahan ini, Akhil menasihatkan agar perkara ini dibawa berbincang terlebih dahulu sebelum menjatuhkan sebarang hukuman sama ada pada penyanyi atau pun penganjur.
“Sebaiknya, perkara ini boleh diperbincangkan. Islam ini bukan jenis menghukum saja. Hukum diwujudkan untuk mengawal. Adakah patut diboikot atau tidak? Ia jelas lagi nyata. Kalau seorang Islam itu pergi disko pun sudah gambarkan perkara yang tidak baik. Sedangkan orang itu tidak minum arak.
“Elakkanlah perkara yang boleh mendatangkan fitnah. Lebih baik tidak melibatkan diri dengan perkara berkaitan dengan arak. Kalau peminat hendak memboikot tu, lebih baik pihak tertentu berbincang dan dapatkan kata sepakat. Orang kita banyak menghukum dari memberikan penjelasan tentang hukum tersebut. Saya pun tidak mahu mengguris hati orang,” ujarnya.

