Aznil Nawawi Ingin Jadi Pengacara Program Agama

by MediaKini on 7 September, 2012

in Info Artis

Share:

Aznil Nawawi Ingin Jadi Pengacara Program Agama : Setelah meraih kejayaan sepanjang 22 tahun menjadi pengacara berbentuk hiburan, Aznil Hj. Nawawi berhasrat meluaskan langkahnya bagi mengendalikan program berbentuk keagamaan.

Aznil, 50, berkata, dia sudah bersedia mengendalikan program sedemikian sekiranya pihak stesen televisyen Astro yang dinaunginya ingin memberi kepercayaan bagi beliau berbuat demikian.

“Walaupun saya tidak pernah berasa diri ini tua pada usia ini, sudah tiba masanya saya melebarkan kebolehan diri bagi menjadi pengacara dalam program-program berbentuk keagamaan.

“Kita sering lihat, program-program sebegini sering dipelopori oleh pengacara yang berkopiah, berserban, berjubah dan sebagainya. Jadi saya mahu program keagamaan yang saya kendalikan ini lebih santai, sama seperti imej saya sekarang ini.

“Alhamdulillah, untuk tujuan itu sedikit-demi sedikit saya berhijrah daripada segi dalaman diri. Bukannya nak kata saya ini cetek ilmu agama, cuma saya ingin lebih mendalaminya,” kata Aznil.

Aznil ditemui pada majlis rumah terbuka dan perkenalan wajah personaliti baru Astro di Hotel The Royale Bintang, Damansara, di sini, Khamis.

Tambah Aznil, dia juga sedang mencari seorang guru yang boleh membimbingnya mengenai ilmu-ilmu Islam sebagai persediaannya ke arah itu selain menambahkan lagi pengetahuan agama dalam dirinya.

Bagaimanapun dia tidak akan melepaskan program-program yang sering dikendalikannya begitu sahaja sekiranya diberi peluang untuk menjadi pengacara agama.

“Walaupun sudah bersedia bagi mengacara di bidang keagamaan, saya masih lagi ada tuntutan mengendalikan program-program lain.

“Tetapi sekiranya ada pelapis baru, maka saya akan memberi laluan kepada muka-muka baru pula.

“Perlu diingat, kami (Astro) ada pelanggan dan tak bolehlah saya membiarkan program tersebut terkontang-kanting. Itu dah dikira pentingkan diri namanya,” seloroh Aznil. - Aznil Nawawi Ingin Jadi Pengacara Program Agama 

5.0

Previous post:

Next post: