Banduan terlepas, berjaya rampas pistol polis

by Black Hat on 19 September, 2012

in Info Terkini

Share:

Banduan terlepas, berjaya rampas pistol polis

Orang ramai berhampiran kawasan Beserah, Balok dan sekitarnya digesa berjaga-jaga kerana dikhuatiri adanya ancaman penjenayah di kawasan mereka. Ini berikutan satu kemalangan yang melibatkan sebuah kereta peronda polis yang sedang membawa banduan telah berlaku di jalan By-Pass (Kuantan-Kemaman) berhampiran Taman Dato’ Rashid tengahari tadi, mengakibatkan banduan yang dibawah berjaya meloloskan diri bersama sepucuk pistol.

Difahamkan penjenayah terbabit telah berjaya merampas pistol polis dan melarikan diri menghala ke hutan Beserah menghala ke Pelabuhan Kuantan.

Oleh itu orang ramai diminta berhati-hati dan sekiranya ternampak kelibat individu yang kelihatan mencurigakan, sila laporkan kepada polis.

Kereta terbabas, banduan cabut lari

KUANTAN – Seorang banduan yang baru sahaja dijatuhi hukuman penjara atas kesalahan dadah bertindak agresif dengan bergelut dan menendang anggota polis yang mengiringinya menyebabkan kereta polis yang mereka naiki terbabas dan merempuh belakang sebuah lori disini, semalam.

Kejadian pada pukul 11.45 pagi di Jalan Kuantan-By Pass dekat Taman Dato Rashid itu mengakibatkan tiga anggota polis cedera parah manakala banduan itu pula berjaya meloloskan diri.

Anggota polis yang cedera dalam insiden itu ialah pemandu kereta polis, Konstabel Filyx Lansaver Jinol, 25, Koperal Zulhairi Ramli, 24, dan Koperal Abd. Rashid Ahmad, 51.

Kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Banduan Lari

Asisten Komisioner Mohd. Jasmani Yusuff yang adalah Ketua Polis Daerah Kuantan berkata, ketika kejadian, kereta polis berkenaan dalam perjalanan membawa banduan terbabit yang baru dijatuhkan hukuman atas kesalahan mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1953. Mereka bertolak dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Berang, Terengganu menuju ke Penjara Penor di sini.

“Sampai di tempat kejadian banduan terbabit, Roslan Ismail, 32, tiba-tiba bertindak agresif dan bergelut dengan anggota polis sebelum menendang pemandu hingga mengakibatkan kereta polis hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebuah lori rosak yang diletakkan di bahu kiri jalan menghala ke Kuantan.

“Selepas itu, banduan terbabit bertindak melarikan diri dengan tangan bergari menuju ke kawasan hutan berhampiran taman berkenaan,” kata beliau kepada pemberita di sini.

Menurut beliau, seorang saksi yang berada di tempat kejadian cuba mengejar banduan terbabit dan menyuruh banduan itu menyerah diri namun arahan itutidak diendahkan sebaliknya terus menghilangkan diri.

Beliau berkata, pemandu lori berkenaan, Mohd. Zamri Abdul Kadir, 22, yang sedang menggantikan tayar sebelah kiri lorinya yang pancit di situ turut mengalami kecederaan di betis kiri akibat rempuhan kereta polis yang membawa banduan itu.

“Polis kini membuat sekatan jalan di sempadan daerah Kemaman, Maran, Temerloh dan Pekan bagi memburu banduan terbabit,” kata beliau.

Pihak polis pada pukul 10.25 malam tadi berjaya memberkas semula banduan itu ketika penjenayah terbabit pergi ke rumah penduduk di Taman Dato Rashid untuk meminta air dengan tangan masih bergari.

Banduan yang berasal dari Terengganu itu dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan sepuluh sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu berkuat kuasa pada 28 Jun lepas.

- Info Terkini @ forblogger.net

5.0

Previous post:

Next post: