Bapa Pelajar Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia: “Mewakili anak saya, saya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor atas tindakan anak saya itu,” demikian rayuan A Rahman Abdullah, 53, bapa kepada salah seorang pelajar kolej swasta yang diambil keterangannya oleh polis berhubung kejadian menayang punggung ke atas gambar pemimpin negara pada sambutan ambang merdeka di Dataran Merdeka, Khamis lalu.
Menurut A Rahman, dia amat kesal terhadap tindakan yang dilakukan oleh anaknya dan masih terkejut dengan apa yang telah berlaku.
“Saya terkejut sewaktu mendapat perkhabaran ini. Setahu saya, anak saya langsung tidak terlibat dalam mana-mana parti politik serta tergolong dalam kalangan pelajar yang rajin.
“Bagaimanapun saya percaya dia terpengaruh dengan ajakan rakan-rakan sebaya atau mungkin dipergunakan pihak tertentu. Sepatutnya dia lebih menumpukan masanya pada pelajaran,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Menurut A Rahman, pihak polis juga telah memaklumkan yang anaknya telah dibebaskan kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Sehubungan itu, dia turut menasihatkan anak muda lain agar tidak mudah terpengaruh dengan rakan atau mana-mana pihak sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam mahupun masa depan sendiri.
“Saya berdoa agar anak saya segera insaf dan mengambil iktibar daripada kejadian tersebut,” katanya. - Bapa Pelajar Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia


{ 4 trackbacks }