SHAH ALAM- Bas yang telah dilancarkan oleh PKR semalam sebagai kemudahan untuk menggerakkan Jelajah Merdeka Rakyat didakwa telah diserang di Kota Bharu, Kelantan awal pagi tadi.
Maklumat yang diperoleh siri mesej Twitter sejak awal pagi tadi menunjukkan bas tersebut, yang dipercayai tiba di destinasi pertama sejak dilancarkan semalam, disimbah dengan cat merah dan cerminnya pula telah dipecahkan.
Wartawan di Kota Bharu melaporkan bahawa bas tersebut telah disimbah cat ketika diletakkan di hadapan Pasar Siti Khadijah.
Difahamkan ianya telah dilakukan oleh sekumpulan pemuda kira-kira jam 5 pagi tadi.
Semalam Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menaiki bas tersebut ketika berceramah di Tanah Merah.
“Jelajah Merdeka Rakyat: Bas diserang di KB (Kota Bharu) jam 5 pagi – cat merah dan pecah cermin. Samseng bermarajalela. Kakitangan ke IPD unutk membuat laporan,” kata Anwar, yang juga Ketua Umum PKR menerusi Twitter sebentar tadi.
Kenyataan dikeluarkan di blog Anwar menyebut, “pada awal pagi tadi sekitar jam 5 pagi, bas Jelajah Merdeka Rakyat yang kini dalam rangka perjalanan ke Pahang, Kelantan, Kedah dan Perlis telah diserang berdekatan dengan Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu, Kelantan.”
Katanya, cermin bas tersebut telah dipecahkan dan cat merah disimbah pada bas itu.
“Insiden ini disyaki didalangi oleh samseng upahan,” tambah kenyataan tersebut.
Sehubungan tersebut, kenyataan itu menjelaskan, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Kota Bharu sebentar tadi dan pihak polis telah memberi jaminan akan menjalankan siasatan segera berhubung insiden ini.
Dalam pada tersebut, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli pula berkata, PKR akan mengadakan sidang media serentak di Kota Bharu dan juga ibu pejabat parti itu pagi ini untuk mengecam usaha “menggagalkan jelajah “merdekarakyat.”
Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya akan mengumumkan butiran insiden tersebut pada sidang media pagi ini.
“Butiran maklumat sedang dikumpulkan dan akan dimaklumkan pada sidang media nanti oleh YB Azmin Ali (Timbalan Presiden) dan Rafizi,” kata beliau ketika dihubungi wartwan.
Anwar merasmikan Jelajah Bas sempena Aidilfitri di Petaling Jaya, semalam. Penggunaan kemudahan bas diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika 1 Syawal yang lalu.
Pada majlis semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR memulakan siri baru – Jelajah Merdeka Rakyat ke seluruh Semenanjung untuk mendekati dan menyampaikan mesej kepada rakyat agar memberi peluang kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk mengubah Kerajaan Pusat.
Saifuddin berkata, siri jelajah tersebut akan diadakan secara berterusan sehingga Parlimen dibubarkan dan akan diteruskan sepanjang tempoh pilihan raya.
Menurutnya, jelajah tersebut juga adalah kesinambungan 20 siri program Merdeka Rakyat yang diadakan sejak tiga bulan lalu.
Menurutnya, ramai pemimpin PKR Pusat akan terlibat dalam siri jelajah tersebut dan mereka akan berada di Pahang, Kelantan, Kedah dan Perlis.
Bas tersebut mempunyai 19 tempat duduk, kemudahan wifi, tempat mesyuarat, tandas dan dilengkapi sistem bunyi dan pentas segera.



{ 2 trackbacks }