JITRA: “Saya yakin hanya ilmu sahaja yang dapat mengubah nasib keluarga saya menjadi lebih baik satu hari nanti,” kata Fazliana Ahmad Buderi (21) yang diumumkan sebagai pelajar terbaik pada Majlis Konvokesyen ke-26 Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas), di sini, semalam.
Fazliana yang berasal dari Temerloh, Pahang dipilih sebegai penerima Anugerah Pengarah (Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum) 2011.
Pemegang Diploma Kejuruteraan Elektrik itu berkata, biarpun tidak menduga dipilih sebagai pelajar terbaik sesi Disember 2011 ini, dia menganggap segala usahanya selama ini berbaloi walaupun dia datang dari keluarga sederhana.
Katanya, setiap masalah yang dihadapi terutama kewangan sepanjang belajar di situ tidak pernah dikongsi dengan keluarga kerana tidak mahu membebankan ibu bapanya.
“Saya bukan orang senang, malah saya ada sembilan beradik dan empat daripada kami masih belajar dalam tanggungan ibu bapa saya.
“Kalau boleh saya tidak mahu membebankan ibu dan ayah, malah jika kesempitan wang, saya akan cuba selesaikan sendiri. Syukur Alhamdulillah setiap apa yang berlaku dapat ditangani dengan mudah,”
katanya selepas majlis itu di Dewan Wawasan, di sini.
Anugerah itu disampaikan Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Katanya anak gadis yang bercita-cita untuk menjadi pensyarah itu, dia hanya mahu keluarganya gembira dan bangga mempunyai anak sepertinya dan bertekad mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik kelak.
“Saya mahu membantu ibu dan ayah kerana mereka sudah lama bersusah payah membesarkan kami adik beradik sehingga besar, sudah tiba masanya untuk saya belajar bersungguh-sungguh dan membalas jasa mereka.
“Malah saya mahu membantu mereka membesarkan adik-adik lain yang masih belajar tambahan pula ayah sudah bersara awal disebabkan penyakit kencing manis yang dihidapinya kini.
“Sementara ibu pula terpaksa mengambil alih tugas membantu keluarga dengan mengambil upah membuat dan menjual kuih-muih bagi menyara keluarga,”
katanya yang kini menyambung pengajian di peringkat ijazah di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dalam jurusan Teknologi Kejuruteraan Elektrik Kuasa Industri.
Sementara itu, seorang lagi penerima Anugerah Pengarah (Kecemerlangan Akademik dan Ko-Kurikulum) 2011, Tan Wooi Shiang, 21, berkata dia berhasrat mahu mengulangi kejayaan itu pada peringkat diploma akan datang.
Pemegang Sijil Kejuruteraan Elektrik itu kini berada di semester kedua bagi mengikuti pengajian di peringkat Diploma Kejuruteraan Elektronik di Polimas.
Anak tunggal itu berkata, dia bercita-cita mahu menjadi jurutera sekali gus membantu ibu bapanya yang kini masih bekerja makan gaji.
“Itu harapan saya untuk keluarga dan akan buktikan kejayaan ini mampu memberi kesenangan kepada mereka suatu hari nanti,”
katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Polimas, Kamaruzaman Ismail berkata, 1,907 graduan bidang Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Kejuruteraan Mekanikal dan Perdagangan menerima diploma dan sijil masing-masing pada majlis terbabit, – INFO PENDIDIKAN @ forblogger.net.

