# Gambar Hiasan Sahaja:
KEJOHANAN kali yang kedua Fixed Gear Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 (KLIFGT 2012) yang akan diadakan di Velodrom Cheras hujung minggu ini, telah menarik penyertaan pelumba dari enam buah negara termasuk Malaysia, setakat ini.
Penganjur Dame Events and Communications Sdn Bhd, Persatuan Berbasikal Kuala Lumput(KL) dan Yellow Bike Company berkata mereka mensasarkan penyertaan dari 10 buah negara bagikejohanan tahun ini.
“Pelumba yang telah mengesahkan penyertaan adalah dari Indonesia, Singapura, Thailand, United Kingdom, Australia dan Malaysia. Kami masih menunggu pengesahan dari pelumba Jepun, Korea Selatan dan China,” kata penganjur kejohanan itu dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur kepada pemberita, hari ini.
Sukan berbasikal ‘fixed gear’ (gear tetap) adalah sukan yang amat popular yang berasal dari Amerika Syarikat dan dianggap berisiko kerana beberapa basikal jenis berkenaan tidak dilengkapi dengan brek.
Pada kejohanan sulung tahun lepas, KLIFGT 2011 telah menarik penyertaan seramai 230 pelumba termasuk 80 peserta dari luar negara.
Bagi edisi 2012, perlumbaan dibahagikan kepada dua kategori iaitu ‘urban riders’ dan pelumba profesional.
Kategori ‘urban riders’ adalah terbuka hanya kepada peserta yang menggunakan basikal gear tetap dan telah berbasikal di jalan-jalan di bandar masing-masing.
Manakala bagi kategori pelumba profesional, ia terbuka kepada semua pelumba profesional tempatan dan luar negara serta pelumba dan pelatih dari mana-mana negeri
Kategori yang akan dipertandingkan pada kejohanan tersebut ialah acara trek, kriterium, ‘trickjump’, ‘polo bike’ dan ‘gold sprint’.
Selain daripada perlumbaan, penganjur juga mengadakan pameran di venue sama dari 14 hingga 16 Sept, yang akan menampilkan beberapa aksesori basikal serta peralatan yang diperlukan untuk sukan berkenaan.
KLIFGT 2012 juga adalah peluang kepada pelumba muda dan berbakat, mereka akan dilatih oleh pelumba profesional untuk menunggang dengan teknik yang betul dan selamat melalui program pembangunan.

