BUTTERWORTH - “Kalau hang (awak) balik juga, mak pukul dengan kayu,” kata Zuraini Abdul Kadir, 29, gadis lembam sewaktu menceritakan nasibnya yang mendakwa `dibuang’ oleh keluarganya sendiri.
Lebih malang lagi, gadis tersebut yang juga pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), bukan saja tidak diendahkan ibu bapanya yang sudah berpisah itu tetapi, ‘dibuang’ dengan keadaan menyayat hati apabila ditolak keluar dari kereta, Ahad lalu.
Gadis tersebut dibiarkan di tepi jalan bersama beg pakaiannya dekat Taman Cantik, di sini, setelah ditinggalkan ibu kandungnya bersama bapa tiri serta seorang lelaki yang menaiki sebuah kereta.
Bagaimanapun, nasib menyebelahi gadis malang tersebut apabila seorang saudaranya yang kebetulan melalui jalan itu menemuinya sebelum membawanya pulang ke rumah mereka.
Dalam pada itu, gadis tersebut dikatakan bukan sekadar ‘dibuang’, tetapi wang bantuan JKM sebanyak RM300 sebulan sejak 2 tahun lalu dipercayai dikeluarkan keluarganya tanpa pengetahuannya berikutan dia tidak tahu menulis serta membaca.
Difahamkan, ibunya kini tinggal di Kulim, Kedah, manakala bapanya pula menetap di Ampang Jajar. Gadis tersebut ditemui media sewaktu menerima kunjungan Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Bagan, David Chua bersama pegawai JKM di rumah ibu saudaranya di Kampung Federal, di sini semalam.
Zuraini yang memahami penderitaan dialaminya sesekali menitiskan air mata walaupun tidak dapat menceritakan dengan panjang lebar sejarah hidupnya.
“Saya sayang mak…sayang bapa, tapi mak tak sayang saya,”
Ibu saudaranya, Zaiton Abu Ghany, 39, berkata, Zuraini ialah anak sulung daripada 4 beradik pada mulanya dijaga ibu bapanya sejak dilahirkan sebelum dihantar ke Taman Sinar Harapan Jubli, Johor Bahru sewaktu berusia 8 tahun hingga gadis tersebut berusia 26 tahun.
Menurutnya, setelah keluar dari Taman Sinar Harapan Jubli, dia dijaga oleh ibu tirinya sebelum dihantar ke Darul Hanan di Pongsu Seribu, di sini, pada 2010. Katanya, pengurusan pusat jagaan tersebut menyerahkan semula gadis terbabit kepada ibu tirinya pada Julai lalu disebabkan ada masalah tertentu.
Menurut Zaiton, jika diberi peluang dia ingin menjaga Zuraini tetapi rumahnya sendiri juga sempit serta hanya ada sebuah bilik selain mempunyai anak lelaki yang sudah dewasa.
“Saya diberitahu dia kemudiannya diserahkan pula kepada ibu kandungnya sehinggalah saya menemuinya di tepi jalan di Taman Cantik dengan beg pakaian lalu membawanya pulang ke rumah,”
“Kami simpati nasibnya yang dibuang ibu bapa kandung dan tiri. Kalau saya orang senang, tentu saya akan menjaganya, tapi masalahnya saya sendiri pun orang susah,”
Dalam pada itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Seberang Perai Utara, Mohd Rahim Mohd Aliff berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kes Zuraini kerana gadis tersebut pernah ditempatkan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bagan Indah, di sini sebelum ke Darul Hanan.
“Setakat ini, dia masih mempunyai ibu bapa kandung serta ibu bapa tiri. Jika siasatan kami mendapati tidak diterima keluarga sendiri, kemungkinan kami akan tempatkannya di Rumah Perlindungan Jitra di Kedah selepas ini,”.


{ 2 trackbacks }