Pehimpunan Aman – Bantah filem anti – Islam di lokasi berbeza di ibu negara iaitu pekarangan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Masjid Kampung Baru:
10 pagi: Keadaan di kawasan Kedutaan AS kelihatan seperti biasa dan orang ramai menjalani urusan mereka walaupun kedutaan akan ditutup pada jam 11 pagi. Anggota polis telah ditempatkan di kawasan berkenaan
10 pagi: Keadaan di Masjid Kampung Baru masih seperti biasa dan peserta perhimpunan aman anjuran Pemuda Umno yang membantah filem Innocence of Muslims dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW masih belum tiba
11 pagi: Peserta pehimpunan mula tiba di Masjid Kampung Baru secara berperingkat, ada di antara mereka ahli Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) termasuk dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyertai perhimpunan itu
11.30 pagi: Laluan masuk ke masjid Kampung Baru telah ditutup oleh pihak pengurusan Masjid berkenaan bagi memudahkan jemaah menunaikan solat Jumaat.
12 tengah hari: Kelihatan orang ramai mula membanjiri Masjid Kampung Baru bagi menunaikan solat Jumaat.
12.45 tengah hari: Turut hadir bagi menyertai Himpunan Aman anjuran Pemuda Baru adalah ahli Parlimen Kulim-Bandar Bahru, Datuk Zulkifli Noordin .
12.45 tengah hari: Keadaan di pekarangan Kedutaan AS kelihatan tenang.
12.55 tengah hari: Dilihat Duta AS keluar dari bangunan kedutaan.
1 tengah hari: Ketua Pemuda Umno negeri dan bahagian dari seluruh negara termasuk Exco Pemuda kelihatan berada di pekarangan Masjid Kampung Baru
1.10 tengah hari: Kawasan pekarangan Masjid Kampung Baru sesak dengan jemaah dan peserta perhimpunan yang ingin menunaikan solat Jumaat
Suasana di luar Masjid Kampung Baru, tempat Pemuda Umno menganjurkan Himpunan Aman
1.15 tengh hari: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin tiba bersama timbalannya Datuk Razali Ibrahim.
1.14 tengah hari: Peserta perhimpunan menurunkan tandatangan pada kain rentang bantahan yang dipasang di pekarangan Masjid Kampung Baru.
Beberapa peserta Himpunan Aman menurunkan tandatangan pada kain rentang tertera mesej “Kami Membantah Filem Innocense of Muslims” di pekarangan Masjid Kg Baru.
1.30 tengah hari: Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim turut hadir.
1.30 petang: Dianggarkan lebih 1,000 orang peserta demonstrasi berada di Masjid Tabung Haji. Unit Amal Pas turut hadir
Sebahagian peserta Himpunan Aman anjuran Pemuda Pas berhimpun di kawasan Menara Tabung Haji.
1.35 petang: Peserta demonstrasi kelihatan tenang. Kumpulan media juga kelihatan sudah tiba di kawasan pekarangan Masjid di mana demonstrasi akan berlangsung sebaik sahaja selesai solat Jumaat.
1.40 petang: Anggota polis mula berkumpul dan menutup jalan bagi laluan kenderaan di hadapan Kedutaan AS.
Anggota polis mula mengawal lalu lintas di Jalan Tun Razak, berhadapan dengan pintu masuk utama Kedutaan AS.
1.40 petang: Mursyidul Am Tibai, Zahid Md Arip turut berucap dan mempertikaikan pemimpin DAP yang mengecam tindakan umat Islam berhimpun hari ini.
1.45 petang: Datuk Hasan turut mengecam beberapa pemimpin dunia bukan beragama Islam dan beberapa NGO yang menyokong penyiaran filem mengutuk Islam dan karikatur menghina Nabi Muhammad SAW
1.55 petang: Polis mengeluarkan arahan media hanya dibenar berada di satu kawasan, di depan Kedutaan AS bagi menjamin keselamatan semasa himpunan.
2.00 petang: Exco Pemuda Umno, Lokman Adam memulakan ucapan di Masjid Kampung Baru
2.00 petang: Datuk Ibrahim Ali berkata Perkasa sampaikan tahniah kepada Khairy atas penganjuran Himpunan Aman hari ini.
2.06 petang: Peserta himpunan anjuran Pemuda Pas mula berarak ke kawasan Kedutaan AS. Peserta lebih kurang 3,000 orang.
2.10 petang: Ketua Putera Umno, Datuk Azeez Rahim memberi ucapan – menegaskan Kelab Putera 1Malaysia bersama rakyat Malaysia mengkritik penerbitan filem. Beliau bagi tujuh hari kepada Datuk Ngeh Koo Ham letak jawatan, dan jika tidak bermakna DAP menyokong tindakannya
2.20 petang: Khairy berkata, tujuan perhimpunan yang diadakan hari ini adalah untuk mengecam filem dan karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.
2.20 petang: Peserta sudah sampai di hadapan kedutaan tetapi dihalang oleh polis.
2.25 petang: Khairy juga kesal dengan sikap pemimpin pembangkang yang mengutuk umat Islam yang menegakkan keadilan bagi agama mereka.
2.25 petang: Dianggarkan 3,000 orang hadir pada Himpunan Aman di kawasan Masjud Kampung Baru.
2.25 petang: Turut serta dalam perhimpunan ialah Tian Chua, Nurul Izzah, Salehuddin Ayub, masing-masing Naib Presiden PKR dan Pas. Salehuddin berkata, “kami umat Islam dan bukan Islam, kami mengutuk tindakan hina Islam.” Mereka tuntut Presiden AS Barrack Obama minta maaf,bertanggungjawab dalam hal ini
2.30 petang: Khairy berkata, Pemuda tidak bermusuh dengan Kerajaan Perancis dan Amerika Syarikat, tetapi mahu mereka hormati agama Islam dan Nabi Muhammad SAW. Semua pemimpin Himpunan Aman anjuran Pemuda Umno sudah selesai berucap.
2.30 petang: Lima wakil dipilih untuk menghantar memorandum kepada Kedutaan AS
2.45 petang: Lima wakil yang dipilih menyerahkan memorandum kepada wakil Kedutaan AS.
3 petang: Di akhir pehimpunan, bendera Israel dibakar di pekarangan Kedutaan AS, KL
