Ibu Aliff Anggap Putus Cinta Sebagai Lumrah Hidup : ”Inilah lumrah kehidupan. Sebelum ini pun, Adda Butterfly pun mengalami situasi perit apabila hanya 17 hari menjadi isteri orang. Apatah lagi, anak saya yang masih belum mempunyai apa-apa ikatan yang sah dengan Anne.”
Siti Hafiza S. Mohamad , ibu kepada penyanyi Aliff Aziz, mengakui amat terkejut selepas mendapat tahu bahawa hubungan cinta di antara anaknya dengan Anne Ngasri telah pun putus.
Apa yang lebih mengejutkan lagi apabila berita ini diketahui oleh dirinya sekeluarga menerusi laporan media serta laman twitter.
“Maafkan saya kerana tidak boleh memberikan sebarang komen lebih tentang isu ini. Terus-terang, saya sendiri mengetahui berita ini daripada pihak media dan twitter. Bukannya dari mulut Aliff sendiri.
“Saya sendiri belum kenal pasti puncanya kerana masih belum dapat bercakap dan berbincang lebih lanjut dengan Aliff. Insya-Allah, saya akan berbincang lebih terperinci lagi dengan Aliff selepas ini.
“Saya takut nanti kalau saya tersalah cakap ia akan mengeruhkan lagi keadaan. Berikan masa untuk kami berbincang dan bila sudah kenal pasti puncanya, kami akan beritahu pihak media nanti,” katanya ketika dihubungi wartawan petang tadi.
Dalam pada itu, Hafiza menganggap situasi yang berlaku terhadap anaknya itu sebagai satu lumrah kehidupan manusia.
“Sebagai ibu, saya hanya menddoakan yang terbaik untuk anak saya. Apa yang menimpa anak saya ini memang berlaku dalam kehidupan manusia yang lain. Yang bezanya adalah anak saya ini seorang artis.
“Saya yang dah biasa dengan kejadian ini sudah masak menghadapi perkara sebegini. Mereka masih lagi muda dan masih baru untuk berhadapan dengan cabaran sebegini. Mungkin ini adalah jalan terbaik buat mereka berdua. Apapun saya hanya mendoakan yang baik-baik saja sama ada untuk Alif dan Anne,” jelasnya.
Sementara itu, ibu yang memahami perasaan anaknya itu berjanji akan menghubungi pihak media seandainya anaknya itu sudah sedia untuk memberikan penjelasan.

