Irma Dan Redza Teruja, Bakal Timang Cahaya Mata : Pasangan Irma dan Redza kini semakin teruja kerana dikhabarkan bakal menimang cahaya mata tak lama lagi.
Irma Hasmie, pengacara Assalamualaikum di TV Hijrah mula dikatakan mengalami simptom-simptom ibu mengandung seperti alahan dan muntah-muntah.
Saat ini, menurut sumber dari Sinar, kandungan Irma sudah pun memasuki usia lapan minggu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kurniaan ini dan berharap semuanya berjalan lancar,” ringkas kata Irma mengenai kandungannya.
Melihat keadaan itu, suami Irma, Redza kini tidak sanggup lagi berjauhan dengan Irma. Menurut Redza, dia kini lebih selesa menemani Irma ke mana-mana majlis atau acara yang membabitkan isteri kesayangannya itu.
“Saya khuatir dengan keadaan Irma, kalau boleh saya mahu dia sentiasa ada di depan mata saya. Mujurlah saya bekerja sendiri jadi mudah saya hendak temankan dia. Bukan hendak mengawal, cuma saya risau jika apa-apa terjadi kepadanya,” katanya.
Apa yang menariknya, Irma yang sedang mengandung masih belum mengidam apa-apa yang pelik, tetapi Redza pula yang makin bertambah selera makannya.
“Kebelakangan ini saya sering mengidam macam-macam membuatkan saya semakin kuat makan. Manakala, Irma tidak dapat makan seperti biasa kerana dia sering muntah-muntah,” jelas Redza yang semakin teruja bergelar bapa.
Irma dan Redza dikatakan sememangnya menyukai kanak-kanak, kini impian mereka untuk bergelar ibu bapa bakal tercapai hanya dalam sedikit masa lagi.


