KUALA LUMPUR, 14 SEPT 2012: Telatah yang mencuit hati dan gelagat spontan yang penuh humor dan gila-gila menjadikan Johan Raja Lawak tidak pernah gagal untuk menghiburkan masyarakat umum.
Namun demikian, masyarakat ramai juga mungkin tidak mengetahui sifat sebenar jejaka ini. Johan mengaku bahawa dia seorang ‘family man’ dan agak serius jika berada di luar waktu bekerja.
Perkara ini telah mengundang beberapa peristiwa di mana Johan dan keluarga ditemui di luar dan disapa dengan cara yang dsifatkan oleh pelawak ini sebagai kurang sopan dan adakalanya langsung tidak menghormatinya sebagai seorang individu dan insan biasa.
Dia yang nyata tersentak dengan insiden berkenaan telah meminta agar individu tersebut supaya tidak mengulangi perkara sebegini kepada sesiapa pun. Dia mahu para peminat dan juga masyarakat lebih peka dengan isu ini kerana dia mahu mengubah persepsi masyarakat terhadap pelawak.
Bagi Johan, tidak kira apa pun status selebriti tersebut, mereka perlu dilayan sama rata sepeti orang biasa lain.
Tiada istilah pelawak boleh disapa sesuka hati apatah lagi di luar waktu dia bekerja iaitu menghiburkan, jelasnya.
“Apabila bekerja, saya mengeluarkan semua idea lawak jenaka yang saya mampu untuk menghiburkan anda semua. Tetapi apabila habis sahaja waktu bekerja, saya sudah letakkan diri saya sebagai Johan yang menjadi milik anak, isteri dan keluarga saya.
“Jika bertemu peminat di luar adakalanya saya terpaksa menolak untuk bergambar atau berborak kerana masa saya ketika itu harus dihabiskan dengan keluarga saya. Anak saya pun sekarang dah tahu, jika saya ajak ke tempat tumpuan, mereka menolak kerana tahu, pasti masa mereka bersama saya terganggu.
“Tapi bukan selalu saya menolak, cuma tengoklah macam mana mereka menegur dan keadaan di waktu itu. Kadang-kadang ada yang tidak kena cara menegur dan mereka melakukannya secara suka hati sahaja.
“Apabila berlakunya insiden disergah di tempat umum serta ditolak-tolak seolah-olah telah mengenali saya dengan lama serta meminta saya membuat lawak ketika saya sedang membeli makanan dan sebagainya, saya rasa ia kurang sopan.
“Maka akan mulalah timbul pelbagai cakap-cakap mereka yang mengatakan saya sombong dan sebagainya. Sombong atau tidak itu bukan soalnya, cuma mereka tidak menghormati pelawak sepertimana selebriti hiburan lain. Jadi saya ingin minta pada umum, supaya hormatilah kami para pelawak ini, bukan hanya saya tetapi juga semua pelawak-pelawak yang lain,”
jelasnya panjang lebar mengenai pengalaman dan pandangannya sepanjang bergelar pelawak.
Isu ini ujarnya bukan hanya melibatkan dia sahaja, malah juga melibatkan keluarga dan anaknya. Menurut Johan lagi, anaknya juga pernah diejek dan diugut hanya kerana mereka tahu dia merupakan anak kepada Johan.
“Saya tidak tahu macam mana mahu menjelaskan perkara ini kepada masyarakat. Mungkin tanggapan mereka terhadap pelawak berbeza. Walhal setiap manusia, apa pun status mereka, semula saling mendambakan sifat hormat menghormati sesama insan.
“Keluarga ada keutamaan saya yang utama, jadi saya minta jika anda benar-benar peminat Johan, tolong fahami permintaan saya ini. Saya bukan tidak mahu melayan anda jika terjumpa di luar waktu saya bekerja, cuma ia bergantung kepada keadaan dan cara anda.
“Ini tidak, ada yang tahu budak ini anak saya, terus mengejek dia dan mengucapkan kata-kata yang kurang sopan. Bagi saya kenapa perkara ini harus berlaku hanya pada pelawak. Saya dah menyumbangkan idea saya pada masyarakat tetapi lain pula jadinya pada ank saya.
“Melawak adalah cara saya cari makan, jadi di waktu saya bekerja saya harap anda terhibur dan gunakan lawak saya sehabisnya di waktu tersebut. Bukan menggunakan lawak tersebut untuk perkara yang tak elok,”
ujarnya yang juga kini adalah penyampai radio Era Fm. Dia berasa dengan kesal apabila ada yang salah faham mengenai prinsip dirinya itu.
Bagi pemilik nama Mohamad Yazid Lim ini, seorang individu yang telah berhempas pulas membuatkan masyarakat gembira dan terhibur, dia berharap dia akan terus diterima dan dia tidak pernah mengeluh mencari ruang untuk menghiburkan penonton dengan jenakanya. Diharap para peminat juga boleh menerima pegangan dirinya itu dan menghormatinya sepertimana selebriti dan orang biasa lain. – INFO ATIS @ forblogger.net


{ 1 trackback }