KUALA LUMPUR - Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ali Hamsa hari ini mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) menghentikan serta-merta aktiviti lasak melibatkan kursus Diploma Pengurusan Awam bagi bakal Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) serta kursus lain bagi pegawai-pegawai tidak beruniform disini.
Beliau berkata, ini berikutan insiden seorang kadet PTD, Aidy Hasmi Abu Hassan, yang meninggal dunia ketika menjalani latihan wataniah di Pekan, Pahang baru-baru ini.
Beliau juga mengarahkan JPA dan Intan supaya menyiasat serta mengemukakan laporan terperinci berhubung kejadian itu.
“Saya sungguh terkejut. Bagi pihak seluruh Perkhidmatan Awam, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Saya berdoa semoga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T dan ditempatkan bersama orang yang beriman,”
kata Ali melalui laman Facebooknya.
Bagaimanapun beliau tidak memberi maklumat lanjut mengenai Aidy Hasmi atau apa yang berlaku terhadap Allahyarham.
Dalam laporan terdahulu, pihak Bernama melaporkan bahawa Aldy dari Kementerian Pertahanan mati lemas semasa menjalani latihan di Kem Wataniah Force 136, Pekan.
Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahya Othman berkata mangsa, Aldy Hasmi Abu Hassan, 35, disahkan telah meninggal dunia kira-kira 3 petang di Hospital Pekan.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 2.30 petang ketika mangsa dan 243 lagi pegawai yang lain sedang menjalani latihan menyeberangi sungai di sebatang tali air berdekatan Sungai Miang, dekat sini.
“Tiba-tiba mangsa terjatuh ke dalam air lalu jurulatih kemudian menarik mangsa dari dalam air ke darat lalu terus memberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum menghantar mangsa ke Hospital Pekan untuk rawatan selanjutnya.
“Bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital dan hasil bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas,”
katanya.
Yahya berkata, Allahyarham Aldy Hasmi dan peserta kursus yang lain sedang mengikuti latihan di kem tersebut yang dijadualkan berlangsung dari 3 sehingga 28 September ini.
Difahamkan mangsa yang maut terbut sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, sedang mengikuti Diploma Pentadbiran Awam di bawah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).
“Mangsa juga telah menjalani ujian perubatan sebelum menjalani latihan tersebut,”
katanya lagi.
Jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Jalan Sultanah, Alor Setar malam ini juga untuk urusan pengebumian.
Manakala seorang saksi kejadian yang enggan dikenali, berkata dia sempat menyaksikan saat Allahyarham Aldy Hasmi terjatuh ke dalam air ketika latihan itu diadakan.
“Ketika dia jatuh, jurulatih memanggilnya tetapi dia tidak menyahut dan dengan segera jurulatih menariknya naik ke darat, tetapi mendapati mulut Aldy Hasmi sudahpun berbuih,”
katanya.

