Kereta nasional berinternet


Kereta nasional berinternet


september


SYED Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir (kiri) dan Yeoh Seok Hong (tiga dari kanan) melancarkan kenderaan nasional terbaru dilengkapi capaian Internet berkelajuan tinggi 4G.



 


HARI ini, capaian Internet tanpa wayar (Wi-Fi) berkelajuan tinggi boleh nikmati dengan selesa di mana-mana sahaja kita berada.


Akses tersebut biasanya tersedia di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai seperti pusat beli-belah, restoran dan kafe, hotel serta di bangunan pejabat.


Menerusi kemudahan itu, pengguna peranti mobiliti seperti telefon pintar, gajet tablet serta komputer riba boleh melayari Internet dan melakukan kerja-kerja harian mereka dengan lebih lancar.


Melengkapkan atmosfera dunia tanpa sempadan itu, kini rangkaian Internet berkelajuan tinggi bakal disempurnakan pula di dalam kenderaan untuk tawaran akses Internet bergerak.


Diperkenalkan oleh syarikat pengeluar kenderaan nasional, Proton Holdings Bhd. (Proton), model kereta penumpang terbaru Proton P3-21A itu dilengkapi kemudahan rangkaian Internet 4G.


Pembangunan teknologi untuk kereta Internet pertama Malaysia itu merupakan hasil kolaborasi bersama antara Proton dan syarikat pembekal rangkaian 4G terkenal negara, YES.


Kedua-dua syarikat gergasi itu telah mengambil masa selama lebih kurang setahun untuk mengaplikasi kepakaran masing-masing dalam bidang kejuruteraan automotif dan teknologi sambungan Internet mobiliti dalam menghasilkan model kereta canggih dengan spesifikasi tinggi.


Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, pengenalan inovasi itu merupakan sebahagian daripada nilai utama yang di beri perhatian oleh Proton dalam setiap pembangunan produk mereka.


”Peranan produk automobil kini telah berubah dengan begitu pantas menerusi pengenalan komponen-komponen sosial dan perniagaan yang diperlukan pengguna.


”Justeru, melalui kemudahan Internet di dalam kenderaan, ia bakal menghubungkan pengguna dengan segala keperluan di mana sahaja lokasi mereka.


”Inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat menawarkan pelanggan Proton bukan sahaja kelancaran dan keselesaan kenderaan tetapi juga produktiviti menyeluruh ketika mereka berada di atas jalan raya,” katanya ketika memperkenalkan kenderaan tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.


Beliau memberitahu, bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin sofistikated, pihaknya bersedia memperluas perkhidmatan tersebut pada model-model terbaru kenderaan masa depan mereka.


Sementara itu, Pengarah Eksekutif YES, Datuk Yeoh Seok Hong berkata, pihak berbangga dapat bekerjasama dengan Proton dalam merealisasikan inovasi tersebut.


”Perkhidmatan capaian Internet dalam industri automotif hari ini mempunyai kepentingan yang sama seperti fungsi permainan muzik dan penyaman udara.


”Dengan sokongan teknologi Internet berkelajuan tinggi yang ditawarkan YES, pengguna tidak perlu lagi risau tentang capaian liputan tidak kira sama ada mereka berada dalam kawasan bandar mahu pun luar bandar,” jelasnya.


Seok Hong menambah, bagi tujuan merancakkan perkembangan perkhidmatan itu, syarikatnya bersedia memperluas kawasan liputan Internet YES di seluruh negara.


Model terbaru Proton P3-21A itu bakal memasuki pasaran dalam masa beberapa minggu lagi.


HOT POST FORBLOGGER HARINI:



APA KOMEN ANDA?

0 comments:

Scroll to top