Mati Dipercayai Didera Oleh Kekasih Ibu Angkat

by MediaKini on 8 September, 2012

in Info Terkini

Share:

Mati Dipercayai Didera Oleh Kekasih Ibu Angkat :Memilukan apabila seorang kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun menemui ajal apabila dipercayai akibat didera teman lelaki ibu angkatnya di Taman Seri Telok Emas, di sini, Ahad lalu.

Gambar Sekadar Hiasan

Insiden tersebut terbongkar setelah pihak Hospital Melaka (HM) membuat laporan polis jam 7.55 pagi hari kejadian apabila mendapati mangsa, Noor Sofia Syaqira Abdullah dalam keadaan tidak bernyawa serta mempunyai pelbagai kesan kecederaan di seluruh badannya.

Kanak-kanak tersebut dihantar keluarga kekasih ibu angkatnya berusia 35 tahun yang mengesyaki mangsa telah meninggal dunia di rumah sewa berkenaan.

Siasatan polis mendapati mangsa mati akibat dipukul dan ditumbuk seorang lelaki yang menghilangkan diri sejurus setelah kejadian tersebut.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) negeri, Superintendan P R Gunarajan berkata, kejadian menyayat hati itu dipercayai telah berlaku di rumah mangsa, malam Sabtu minggu lalu.

“Berdasarkan siasatan awal, ibu angkat mangsa menyedari keadaan mangsa yang dilihat seperti tidak sihat sebelum mendapati kanak-kanak tersebut seolah-olah tidak bernyawa, jam 4 pagi Ahad lalu.

“Wanita berkenaan meminta bantuan ahli keluarga suspek menghantar mangsa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia. “Hasil laporan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan dalaman serius iaitu kesan bengkak teruk di dahi selain lebam pada leher, tangan, dada serta kaki dipercayai didera suspek,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Menurut beliau, sejurus kejadian, pihaknya menahan ibu angkat mangsa yang juga suri rumah untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Berikutan kejadian tersebut, katanya, polis kini mengesan seorang lelaki dikenali sebagai Amiezul Al-Ikram Mohamed, 32, dari Gombak, Selangor.

“Orang ramai termasuk ahli keluarga yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit diminta menghubungi Asisten Superintendan Kumares Raja Retnam di talian 019-6905585 atau balai polis berhampiran bagi tindakan lanjut,” katanya.

Kata Gunarajan, pemeriksaan pihaknya mendapati lelaki tersebut memiliki 12 rekod jenayah lampau antaranya membabitkan kes dadah dan samun termasuk 4 daripadanya berkaitan kes yang dikehendaki polis.

“Selain mangsa dan wanita tersebut, suspek menetap di rumah sewa berkenaan bersama seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun sejak 2 bulan lalu,” katanya. - Mati Dipercayai Didera Oleh Kekasih Ibu Angkat

5.0

Previous post:

Next post: