Mati Keracunan Selepas Minum Arak: Tiga lelaki ditemui mati selepas dipercayai akibat keracunan minuman keras yang mereka minum dalam satu kejadian di Rantau Panjang, di sini, awal pagi kelmarin.
Sebelum ditemui mati, mangsa, M Yogarajah, 32, G Vijayakumar, 31, dan G Suman, 30, dikatakan sempat berbual-bual sambil menikmati minuman tersebut di depan rumah Suman, kira-kira jam 10 malam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohamad Shukor Sulong berkata, akibat terlalu mabuk kerana mencampurkan tiga minuman keras tersebut, seorang daripada ahli keluarga mangsa terpaksa membawa mereka bertiga masuk ke dalam rumah kerana bimbang keadaan menjadi tidak terkawal.
Menurutnya, kira-kira jam 6 pagi, adik mangsa cuba mengejutkan mereka bertiga, tetapi tidak mendapat sebarang tindak balas menyebabkan keluarga mangsa yang bimbang terus menghubungi ambulans.
Katanya, semua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, bagi mendapatkan rawatan kecemasan, tetapi gagal diselamatkan sebelum disahkan meninggal dunia.
Difahamkan, seorang lagi rakan mangsa turut berada bersama mereka di tempat kejadian, namun sempat diselamatkan.
“Tiada sebarang unsur jenayah ditemui yang menyebabkan kematian ketiga-tiga mangsa setakat ini,” katanya. Mohamad Shukor berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap daripada HTAR setakat ini, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - Mati Keracunan Selepas Minum Arak

{ 1 trackback }