Muslim dan Ismail Bakal Saman Butler : Pemain bolasepak Terengganu, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha’ri dikatakan bakal mengambil tindakan saman keatas jurulatih mereka Peter Butler.
Kuala Terengganu: Kontroversi yang berlaku antara dua pemain tonggak utama skuad Penyu, Ismail Faruqi Asha’ri dan Muslim Ahmad dengan Jurulatih Terengganu, Peter Butler, semakin panas.
“Dakwaan jurulatih kelahiran England itu sukar dimaafkan. Saya sudah berusaha untuk tidak memanjangkan kes ini, tetapi keengganan dan kedegilannya memohon maaf secara terbuka membuatkan kami terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
Seraya menegaskan pendiriannya, Muslim dan Ismail sudah melantik peguam dan perbincangan lanjut mengenai bentuk tindakan undang-undang ke atas tuduhan mereka membawa masuk perempuan ke bilik penginapan ketika di Alor Setar, Kedah, Selasa lalu cukup mengaibkan diri dan keluarga mereka.
Pintu rundingan dan masa telah diberikan untuk Butler memohon maaf secara terbuka kerana menuduh kami membawa masuk perempuan ke bilik penginapan di Alor Setar, Selasa lalu sudah tertutup, kata Muslim Ahmad.
“Saya dan Ismail sekali lagi ulangi dan berani bersumpah tidak membawa masuk perempuan ke bilik penginapan. ”Kini peguam yang dilantik sedang berusaha mendapatkan rakaman melalui kamera litar tertutup (CCTV) di hotel.
“Kami juga mencabar Butler mengemukakan bukti di atas tuduhannya itu, tetapi selepas lima hari (mulai Rabu lalu), jurulatih itu gagal menunjukkan sebarang bukti, sebaliknya terus menerus membuat tuduhan yang cukup mengaibkan kami melalui media massa,” katanya.
Muslim berkata, Datuk Che Mat Jusoh yang juga Presiden PBSNT memaklumkan, beliau sudah mengarahkan Butler mengemukakan bukti serta membuat laporan bertulis, tetapi sehingga petang ini (semalam), jurulatih itu masih belum berbuat demikian.
Katanya, Butler menjatuhkan hukuman ke atasnya dan Ismail tanpa sebarang bukti sebab itu dia tidak dapat menyerahkan laporan seperti diarahkan pengurusan PBSNT.
“Dia hanya membuat tuduhan berdasarkan maklumat orang ketiga, sebagai jurulatih profesional dia sepatutnya tidak terus menghukum kami, sebaliknya menyiasat secara terperinci terlebih dahulu.
“Jalan penyelesaian antara kami sudah berakhir dan Butler akan menerima padah atas keceluparannya,” katanya yang mengesahkan dia dan Ismail tidak disenaraikan dalam skuad Penyu ketika Terengganu menentang Kedah, Selasa lalu berikutan kecederaan dialami.
Mengenai tindakan Butler enggan menyenaraikan namanya dalam skuad Penyu sepanjang menjadi jurulatih, Muslim yang juga bekas pemain skuad Harimau Muda A, berkata:
“Saya dan Ismail bekerja dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan pengurusan itulah yang membayar gaji serta elaun kami setiap bulan. ”Sebagai seorang pekerja, kami tetap akan turun menjalani latihan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, penjaga gawang gol Terengganu, Sharbinee juga dikatakan mengalami masaalah bilamana terdapat khabar angin mengatakan beliau akan tersingkir dari skuad Terengganu setelah Peter Butler tidak berpuas hati dengan persembahannya kebelakangan ini.


{ 1 trackback }